
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyambut baik arahan Menteri Komunikasi terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tidak meneruskan pelaksanaan kaedah penghalaan semula pengurusan Sistem Nama Domain (DNS).
Ketua Penerangan DPPNS, Abdul Basith Abdul Halim berkata, hal ini kerana tindakan pengalihan DNS bukan sahaja untuk menyekat akses ke laman sesawang berbahaya termasuk pornografi dan judi, tetapi turut berpotensi menyekat aktiviti dalam talian sah yang lain
“Usaha dan niat murni kerajaan untuk menyekat akses terhadap laman sesawang yang mengandungi kandungan haram perlu diberikan sokongan.
“Namun begitu, ia perlu ditangani secara spesifik, bukan dengan cara penghalaan semula DNS yang mungkin bakal menjejaskan akses kepada kandungan sah yang lain,” katanya.
Malah, menurut beliau, perkhidmatan internet juga sering mendapat aduan perlahan apabila menggunakan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) tempatan.
“Bukan itu sahaja, rakyat juga bimbang dengan risiko penyalahgunaan kuasa bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat. Biarpun pada awalnya penghalaan semula DNS dilakukan untuk niat yang murni, namun risiko kepentingan politik itu tetap ada.
“Sebelum dasar DNS ini mahu diperkenalkan pun, sudah begitu banyak akaun media-media sosial yang disekat penyebarannya.
“Jika hasrat ini diteruskan, pihak Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) mahupun syarikat Telco akan mempunyai 100 peratus maklumat akses laman sesawang pengguna, membuatkan isu keselamatan privasi pengguna menjadi persoalan,” ujarnya.
Basith dalam pada itu menegaskan, kerajaan perlu memastikan prestasi perkhidmatan DNS yang disediakan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) tempatan seperti syarikat telco perlu lebih baik berbanding perkhidmatan Google, Cloudfare dan lain-lain.
“Beri pilihan kepada rakyat untuk menggunakan perkhidmatan DNS yang mereka mahu. Akses internet akan menjadi perlahan jika perkhidmatan DNS tersebut lambat.
“Maka, tandingi perkhidmatan Cloudflare yang mampu mengurus lebih 200 billion permintaan perkhidmatan setiap hari,” tambahnya.
Justeru, sebagai Menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal komunikasi di Malaysia, beliau menyatakan bahawa Fahmi Fadzil perlu berfikir jauh kehadapan sebelum membuat sesuatu keputusan.
“Jangan amalkan sikap seperti PMX yang kerap buat dahulu baru bertanya. Apa pun jua, tahniah kepada kerajaan atas pusingan ‘u-turn’ kali ini.
“Walaupun tindakan ‘u-turn’ ini boleh menjejaskan sedikit imej kerajaan, ia tetap berbaloi jika akhirnya rakyat yang mendapat manfaat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024




















