Korea Selatan sasar penggunaan AI dalam tentera

Sidang kemuncak yang diadakan Korea Selatan bermatlamat mewujudkan rangka tindakan terhadap AI dalam tentera. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

SEOUL: Korea Selatan mengadakan sidang kemuncak antarabangsa pada Isnin bertujuan untuk mewujudkan rangka tindakan penggunaan bertanggungjawab terhadap kecerdasan buatan (AI) dalam tentera, walaupun sebarang perjanjian dijangka tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya.

Lebih 90 negara termasuk Amerika Syarikat dan China telah menghantar wakil kerajaan ke sidang kemuncak dua hari itu, yang merupakan perhimpunan kedua seumpama itu, lapor Al Arabiya.

“Baru-baru ini, dalam perang Rusia-Ukraine, dron Ukraine yang menggunakan AI berfungsi sebagai ‘David slingshot’,” kata Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-hyun.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian merujuk kepada usaha Ukraine untuk kelebihan teknologi terhadap Rusia dengan melancarkan dron berkebolehan AI, berharap ia akan membantu mengatasi gangguan isyarat serta membolehkan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) berfungsi dalam kumpulan yang lebih besar.

“Memandangkan AI digunakan pada domain ketenteraan, keupayaan operasi tentera bertambah baik secara mendadak. Namun ia seperti pedang bermata dua, kerana ia boleh menyebabkan kerosakan akibat tersalah guna,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Luar Korea Selatan, Cho Tae-yul berkata, perbincangan akan merangkumi bidang seperti semakan undang-undang untuk memastikan pematuhan undang-undang antarabangsa dan mekanisme bagi menghalang senjata autonomi daripada membuat keputusan hidup dan mati tanpa pengawasan manusia yang sewajarnya.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan berapa banyak negara yang menghadiri sidang kemuncak itu akan menyokong dokumen itu pada Selasa, yang bertujuan untuk menjadi lebih terperinci mengenai sempadan penggunaan AI dalam tentera, yang dilihat masih kekurangan komitmen undang-undang.

Sidang kemuncak itu dihoskan bersama oleh Belanda, Singapura, Kenya dan United Kingdom, bertujuan untuk memastikan perbincangan pelbagai pihak yang berterusan dalam bidang di mana perkembangan teknologi didorong terutamanya oleh sektor swasta, tetapi kerajaan adalah pembuat keputusan utama.

Kira-kira 2,000 orang di seluruh dunia telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu, termasuk wakil daripada organisasi antarabangsa, ahli akademik dan sektor swasta untuk menghadiri perbincangan mengenai topik seperti perlindungan awam dan penggunaan AI dalam kawalan senjata nuklear. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -