Kenyataan terbaru Teresa lemah dan bercanggah

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menyifatkan kenyataan terbaru Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sebagai cubaan lemah untuk mengelak daripada didakwa susulan siasatan polis terhadap kenyataannya sebelum ini mengenai pensijilan halal mandatori.

Katanya, Teresa yang kini menyokong usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mempromosikan pensijilan halal dilihat bertentangan dengan pendirian asalnya yang mengkritik cadangan tersebut.

Menurutnya, kenyataan awal Teresa dengan jelas menyatakan bahawa pensijilan halal mandatori akan membebankan perniagaan dan menghalang kebebasan pilihan pengguna.

- Advertisement -

Beliau berkata, Teresa mendakwa bahawa kenyataannya telah disalah faham, namun hantaran di Facebooknya jelas menunjukkan penolakan tegas terhadap cadangan pensijilan halal mandatori.

“Ayat yang Teresa gunakan dalam kenyataannya adalah jelas, iaitu pensijilan halal mandatori menambah beban kepada perniagaan, menghalang kebebasan pilihan pengguna, serta bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya di negara ini dan mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

“Ayat-ayat lain yang Teresa gunakan dalam kenyataannya ialah pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran, pensijilan halal secara mandatori akan menghadkan fleksibiliti perniagaan dan mempengaruhi kebebasan pilihan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Razali, dakwaan Teresa bahawa beliau menyokong usaha kerajaan, khususnya JAKIM, untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman adalah tidak lebih daripada usaha terdesak untuk cuba menyelamatkan diri daripada pendakwaan selain cuba memulihkan imej yang tercalar teruk setelah menerima kritikan meluas.

“Bagaimana Teresa kini boleh mendakwa beliau menyokong usaha JAKIM untuk mempromosi pensijilan halal sedangkan beliau sendiri sebelumnya menggunakan alasan kebebasan pilihan pengguna untuk menentang pensijilan halal mandatori.

“Kenyataan beliau ini menunjukkan beliau gagal memahami bahawa pensijilan halal adalah satu keperluan asas bagi umat Islam selain merendahkan kepentingan sijil halal yang memerlukan standard dan pengawasan yang tinggi untuk memastikan kepatuhan kepada syariah,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Teresa menunjukkan beliau tidak mengambil kira potensi pasaran besar dari pengguna Muslim, baik dalam dan luar negara.

“Pensijilan halal membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai pelanggan, bukan hanya membebankan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Teresa mendakwa sijil halal memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa, beliau berkata, ia satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan beliau menggambarkan seolah-olah usaha menjaga sensitiviti agama adalah sesuatu yang memalukan, sedangkan banyak negara menghormati keperluan pensijilan halal,” katanya.

Kata beliau lagi, bagaimana Teresa Kok kini boleh mendakwa beliau menyokong usaha JAKIM untuk mempromosi pensijilan halal sedangkan beliau sendiri sebelumnya memanipulasi fakta tentang peranan JAKIM.

“Teresa kini menyebut sokongan terhadap peranan JAKIM dalam pensijilan halal, namun tindakan beliau yang meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pensijilan halal mandatori adalah bertentangan dengan peranannya sebagai wakil rakyat yang sepatutnya menyokong inisiatif meningkatkan standard halal, bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan Teresa sebagai ahli parlimen bertanggungjawab mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum ternyata satu percubaan yang lemah dan tidak berasas untuk menjustifikasikan tindakan beliau menentang cadangan pensijilan halal mandatori.

“Hakikatnya, dalam kenyataan asal beliau, tiada sebarang bukti atau petunjuk yang menunjukkan isu tersebut dirujukkan kepada pengundi atau rakyat yang diwakilinya.

“Sebaliknya, kenyataan Teresa Kok kelihatan lebih kepada mencerminkan pendapat beliau atau parti beliau sendiri,” katanya.

Kata Razali, dalam kenyataan asal, Teresa tidak menyatakan bahawa pendapat tersebut adalah berdasarkan maklum balas daripada pengundi atau rakyat yang diwakilinya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -