DUPP kecam pemimpin DAP pertikai pensijilan halal

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyelar kenyataan seorang pemimpin DAP, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Sum Sih yang mempertikai syarat pensijilan halal yang dikenakan kepada pengusaha restoran khususnya peniaga Melayu-Islam.

- Advertisement -

Ketua DUPP, Dato Ustaz Ahmad Yahaya berkata, syarat pensijilan halal yang diwajibkan bukan sahaja kerana sesuatu produk makanan tersebut mengandungi unsur babi, alkohol dan sebagainya tetapi juga berkaitan elemen kepatuhan terhadap perlesenan yang lain.

“Tujuannya adalah bagi memastikan sesuatu produk yang mendapat sijil halal bukan sahaja ‘halal’ tetapi juga ‘bersih’ (tayyibah), seiring dengan apa yang ditekankan oleh Islam. 

“Justeru, sijil halal ini akan meningkatkan meyakinkan para pengguna Melayu-Islam terhadap restoran tersebut.

“Ironinya, beliau mengeluarkan kenyataan seolah-olah pensijilan halal tersebut suatu ‘beban kepada pengguna’, malah sehingga ke tahap ‘memalukan negara’,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ia bukan sesuatu yang harus dipertikaikan apatah lagi kewajipan itu hanya tertumpu kepada pengusaha restoran orang Islam sahaja.

“Bukankah kenyataan sedemikian sesuatu yang ekstrem, menghina ajaran agama malah sepatutnya diklasifikasi di bawah elemen 3R (agama, raja dan bangsa)?

“Sampai bila golongan bukan Islam khususnya para pemimpin DAP dibiarkan menunjuk belang dengan mempertikaikan ajaran Islam dalam negara?” soal beliau.

Sehubungan itu, DUPP menggesa kerajaan bertindak terhadap kenyataan bersifat cauvinis sedemikian. 

“Usah sekadar menjadikan isu 3R untuk menjatuhkan musuh politik semata-mata, tetapi berdiam diri apabila rakan pakatan sendiri mengeluarkan kenyataan 3R,” katanya. 

Terdahulu, dalam kenyataan media, semalam, Teresa Kok sebaliknya mendakwa, beliau menyokong pula usaha kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman.

Kenyataan Teresa itu muncul selepas pihak polis dilaporkan akan membuka kertas siasatan terhadapnya agi membantu siasatan berhubung kenyataannya sebelum ini, pada 6 September lalu mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan media semalam berkata, setakat ini pihaknya telah menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan Teresa Kok tersebut. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -