Agama ini mudah, jangan dipayahkan

Tiada masalah nak buat bubur asyura kerana dapat merapatkan hubungan orang kampung dan saling bergotong-royong.
- Advertisement -

DALAM sejarah, Kaabah pernah runtuh sebahagian dan pernah juga runtuh seluruhnya. Kawasan tersebut lembah dan tiada penempatan. Kalau hujan lebat, kawasan tersebut memang akan banjir. Jadi, Kaabah pernah runtuh akibat banjir dan juga peperangan. Orang berperang di tepi Kaabah sehingga merosakkannya.

Ada ketikanya, rompakan berlaku kerana ada harta yang disimpan di dalamnya oleh orang pada zaman dahulu. Perompak datang memecahkannya kerana nak mengambil harta.

Telaga Zamzam pernah terkambus kerana orang membuang harta ke dalamnya sehingga air tidak keluar. Terpaksa menggali keluar semua harta tersebut, barulah air zamzam keluar semula.

Tetapi, hebatnya telaga ini kerana air tidak pernah kering. Punca mata airnya tidak pernah diketahui datang dari mana.

- Advertisement -

Binaan yang ada pada hari ini tidaklah tepat seratus peratus dengan yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Bahagian melengkung yang disebut sebagai Hijir Ismail juga merupakan sebahagian daripada Kaabah. Di dalamnya, hanya boleh solat, tawaf tidak boleh.

Nabi pernah menyebut (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 1586) dan Imam Muslim: 1333), maksudnya, “Kalaulah tidak menimbulkan masalah kepada orang, aku hajat nak meruntuhkan Kaabah ini, aku nak buat semula serupa dengan zaman Nabi Ibrahim.” Tetapi oleh kerana orang Arab baru sahaja masuk Islam, kalau Nabi runtuhkan juga, kekecohan mungkin akan berlaku. Jadi, Nabi tidak melakukannya sehinggalah baginda wafat.

Baginda menakluk kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah. Baginda wafat pada tahun ke-11 Hijrah. Selepas pulang daripada mengerjakan haji, baginda demam sehingga meninggal dunia. Haji tersebut merupakan hajinya yang terakhir atau disebut sebagai Hajjatul Wada’.

Jadi, Nabi hanya mengerjakan haji sekali seumur hidup. Berbeza dengan kita, buat haji tiga kali. Sehingga ada yang mengatakan haji perlu dibuat sebanyak tiga kali. Ini tidak betul. Hebat buat haji bukan diukur atas berapa kali. Nabi hanya buat sekali, takkanlah yang buat lebih daripada itu lebih hebat daripada Nabi.

Contoh macam buat bubur asyura pada bulan Muharam. Janganlah sampai kalau tidak buat, tidak senang duduk, nak buat juga. Seolah-olah ia menjadi satu kewajipan. Ini tidak betul. Tiada masalah nak buat bubur asyura kerana dapat merapatkan hubungan orang kampung dan saling bergotong-royong.

Begitu juga dengan sambutan maulud. Kita selalu mewajibkan hal yang tidak wajib. Inilah yang perlu kita perbetulkan. Tiada masalah nak sambut maulud untuk mengingati perjuangan Nabi dan dapat menghimpunkan orang kampung. Tetapi kalau meletakkan hal itu sebagai wajib, itu yang salah. Contohnya ada ceramah, baguslah sebab mengingatkan kita mengenai agama.

Tujuan ulama mewujudkan berzanji adalah untuk mengingati Nabi. Tetapi oleh kerana kita tidak memahami bahasa Arab, duk sedap berlagu sahaja. Dalam lirik zanji itu nak memberitahu betapa cantiknya akhlak Nabi seperti membantu isterinya di rumah, memerah susu kambing, membasuh bajunya sendiri dan sebagainya.

Kalau duk berlagu sahaja tanpa memahaminya, jadi tujuan tidak sampai kerana ia nak memberitahu bagaimana Nabi hidup, perjuangannya, baginda pergi berperang, hubungannya dengan masyarakat dan sebagainya.

Sama juga dengan niat solat. Niat tujuannya adalah untuk menolong hati kita. Niat boleh membantu fikiran dan jiwa kita untuk ingat yang kita ini nak solat apa. Ada yang memberatkan “Usolli …” sehingga timbul rasa was-was. Sebab kita tidak memahami tujuan asal sehingga menyusahkan diri.

Belajar tajwid pun sama. Ditekankan bacaan “ihh” dan huruf “dad”. Belajar biarlah munasabah. Kadang-kadang, kita terlebih Arab daripada orang Arab. Qari-qari di Makkah membaca al-Quran biasa-biasa sahaja. Lihatlah cara sebutannya, bukankah mudah.

Agama ini perkara yang mudah, tetapi kita yang memberatkan diri sehingga kita menjadi susah. Nabi menyebut dalam satu hadis (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 39):

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، ولَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أحَدٌ إلَّا غَلَبَهُ
Maksudnya “Agama ini mudah. Tiada sesiapa yang memberatkan agama melainkan dia akan kalah (tidak mampu menanggung).”

Ada kisah seorang sahabat Nabi yang bernama Abdullah bin Amru (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 5052 dan Imam Muslim: 1159), dia sentiasa berpuasa pada tiap-tiap hari. Nabi mencegahnya dan mencadangkan tiga hari sebulan. Dia kata bahawa dia mampu untuk buat lebih lagi. Nabi mencadangkan lagi supaya dia berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Dia kata dia masih gagah untuk buat lebih lagi. Nabi mencadangkan lagi supaya dia berpuasa seperti puasa Nabi Daud iaitu selang sehari dan itulah sebaik-baik puasa.

Apabila umurnya mencecah 80 tahun lebih, dia mengeluh dan berkata, “Kalaulah aku dengar nasihat Nabi, aku tidak penat.” Tetapi oleh kerana dia telah berjanji dengan Nabi, dia tidak dapat berundur ke belakang.

Nak kata, agama ini carilah yang mudah dan kita mampu buat. Jangan memaksa diri sehingga patah semangat. Biarlah kita buat sesuatu yang mudah dan ia berterusan. Bukannya tidur selama dua jam sahaja dalam bulan Ramadan, masa lain membaca al-Quran. Habis sahaja bulan Ramadan, duk lepak minum air di kedai kopi contohnya, al-Quran langsung tak peduli dah. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -