200 sertai Konvoi Santai Merdeka DUN Kayang

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 200 peserta mengambil bahagian dalam program Konvoi Santai Merdeka anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Kayang yang berlangsung di sini kelmarin.

- Advertisement -

Acara ini merupakan sebahagian daripada sambutan Bulan Kemerdekaan ke-67 serta Hari Malaysia, bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Konvoi bermula di Pusat Tarbiyah Islam Kayang (PUTIK) dan dilepaskan oleh Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Yussaine Yahya, seawal jam 8:00 pagi.

Destinasi pertama konvoi ialah Masjid Behor Temak, di mana beberapa tokoh tempatan hadir, termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth dan Pengarah Jabatan Korporat dan Sumber Manusia, Rosmariani Ab Rashid.

Seterusnya, konvoi menuju ke beberapa lokasi lain, termasuk Kompleks Dakwah dan Tarbiyyah Matin serta Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah di Jejawi, di mana para peserta berkesempatan menyantuni warga emas.

Mereka turut menziarahi kediaman Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin di Sanglang.

Pengarah Program, Amirul Jufri Mat Saman, berkata konvoi ini diadakan bagi menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara serta untuk menyatukan komuniti melalui aktiviti-aktiviti yang bermakna.

Menurutnya, penganjur juga merancang mengadakan program konvoi sempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal tiba tidak lama lagi.

Destinasi terakhir konvoi ini ialah Dataran Kurung Tengar di Kuala Perlis, di mana program tamat sekitar jam 4:00 petang. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -