
PADA Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 yang lalu, isteri saya membeli sebuah buku karangan Buya Hamka terbitan Jejak Tarbiah, lalu ditunjukkan kepada saya seraya bertanya; “Abang dah baca ke buku ni?”
Agak terkejut juga apabila melihatnya kerana tidak pernah membacanya lagi walaupun menyimpan pelbagai koleksi karangan beliau yang nama sebenarnya, Abdul Malik Karim Amrullah, bermula daripada Tafsir Al-Azhar sehingga Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Sesiapa yang membaca karangan Buya Hamka akan pasti melekat di minda, berbekas di jiwa kerana tulisannya begitu mengasyikkan; seolah-olah kita hidup bersama watak-watak yang diolah.
Buya Hamka di alam Melayu atau Nusantara umpama al-Syahid Syed Qutub di dunia Arab dari sudut kesusasteraan.
Penulisannya mempunyai tarikan tersendiri menyebabkan pembaca ingin terus membaca karyanya lagi, ibarat ketagih kepada setiap bait kata yang dicoretkan.
Begitulah hebatnya karamah para ulama dan pejuang, apabila satu usaha terbit daripada hati yang ikhlas maka akan masuk ke dalam hati juga.
Buku Kenang-kenanganku di Malaya merupakan karangan Buya Hamka yang pertama kali dicetak dalam tulisan Jawi pada tahun 1957 setelah penulis mendapat perkhabaran kemerdekaan Tanah Melayu.
Karya ini adalah pandangan beliau terhadap masa depan dunia Islam di alam melayu setelah melalui zaman penjajahan yang begitu panjang.
Itulah realiti yang dihadapi oleh seluruh dunia Islam pada era kelemahan Khilafah Uthmaniyyah sehingga pengakhirannya pada tahun 1924.
Dunia Islam dibahagi sesama penjajah umpama membahagikan potongan kek. Tidak terkecuali alam Melayu yang mencangkupi kepulauan Nusantara yang pernah diperintah oleh pelbagai kesultanan Melayu Islam seperti kerajaan Melaka, Champa dan kesultanan Sulu.
Pada masa yang sama, kesan penjajahan pemikiran yang lebih dahsyat daripada penjajahan tanah watan.
Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan pada 1945, akhirnya Tanah Melayu mengecapinya setelah gabungan Persekutuan Tanah Melayu yang dinamakan Malaya dan seterusnya Malaysia setelah kemasukan Sarawak dan Sabah.
Apa yang menarik, jika diteliti pembentukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri sebenarnya mempunyai roh siyasah syari’iyyah walaupun tidak dinyatakan secara jelas ketika digubal, khususnya konsep al-Imamah dan kepentingan kaum yang berpengaruh menjadi tonggak kestabilan satu-satu pemerintahan.
Ia bersandarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Pemimpin-pemimpin itu hendaklah daripada qabilah Quraisy” (al-Baihaqi).
Berdasarkan hadis ini; para ulama meletakkan syarat ketua kepada pemerintahan Islam mestilah dipimpin oleh individu dari kaum yang paling berpengaruh pada zamannya.
Hatta dalam konteks negara yang mengamalkan sistem demokrasi pada hari ini pun tidak melantik kaum lain menjadi ketua negara.
Negara Jepun melantik Perdana Menteri dari bangsa Jepun, negara Perancis melantik Presidennya dari bangsa Perancis dan begitulah seterusnya.
Mungkin juga mereka mendakwa, kenapa Amerika Syarikat (AS) boleh melantik Barrack Obama menjadi Presiden sedangkan beliau dari keturunan kulit hitam yang bukan majoriti atau United Kingdom yang pernah dipimpin oleh Rishi Sunak dari kaum minoriti India.
Perlu diketahui, AS adalah negara yang dihuni oleh golongan pendatang, maka tidak ada unsur ketuanan kaum tertentu. Manakala United Kingdom pula adalah sebuah negara sekular yang meletakkan kesamarataan agama dan kaum. Berbeza dengan Malaysia yang mempunyai jati diri tersendiri, maka usahlah dibuat perbandingan semudah itu.
Malah Hamka dalam buku yang saya sangat sarankan khasnya kepada generasi muda untuk membacanya, merakamkan harapan yang amat besar agar identiti Melayu tidak hilang dari tanah air ini.
“Maka kalau Melayu Filipina telah bernama Filipina kerana politik dan agama dan gugusan pulau-pulau Melayu telah bernama Indonesia kerana menjaga kesatuan suku-suku bangsa, maka baik sekali jika Semenanjung Tanah Melayu tetap bernama Melayu atau Malaya sehingga nama suatu bangsa besar yang telah berumur beribu-ribu tahun tidak hilang demikian saja.”
Membaca karya ini, jelas bahawa apa yang mahu dikekalkan Buya Hamka buat Tanah Melayu, bukan sekadar namanya saja tetapi identiti bangsa yang memerintah, bahasa dan budaya serta Islam yang menjadi asas dan sendinya.
Semoga karya penulis tersohor ini memberi kesan mendalam kepada setiap yang membacanya, menanam cinta kepada tanah air seikhlasnya khususnya kepada generasi pewaris yang kepada merekalah harapan Buya Hamka dan kita semua untuk menyaksikan kemerdekaan negara ini dipertahankan dengan sebenar-benarnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024




















