
TEMERLOH: Tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi Kerdau akan gegak meriah dengan kehadiran para pimpinan PAS, perwakilan dan pemerhati daripada segenap lapisan masyarakat dari pelosok negara.
“Kami PAS Pahang yang diamanahkan menjadi tuan rumah kali ini berasa sangat teruja dan menunggu dengan penuh semangat kehadiran para pengunjung ke tapak muktamar di Kerdau, Temerloh,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Roslan Zainal.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat datang kepada semua bagi mengikuti muktamar di peringkat Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat pada 11 hingga 13 September ini.
Kemuncaknya, kata beliau adalah Muktamar Tahunan PAS Pusat yang akan berlangsung pada 14 dan 15 September di Kompleks al-Makmur Kerdau.
Menurutnya lagi, muktamar turut dimeriahkan dengan pelbagai acara persembahan, ceramah, pesta makanan dan ekspo SG4 di pekarangan Dewan Kompleks al-Makmur.
“Jom kita meriahkan, memukat ilmu dan maklumat, menyuburkan ukhuwah, memugar semangat juang, dan mengangkat Islam ke persada dunia,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis. – HARAKAHDAILY 8/9/204











