
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) melancarkan pakej ’Diskaun Matta Fair Andalusia September 2024‘ yang buat julung-julung kalinya diadakan syarikat berkenaan.
Menampilkan visi ‘Sekeluarga Mampu Ke Tanah Suci’, Pengarah Pemasaran Digital Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, pihaknya menawarkan diskaun Pakej Umrah dari RM300 sehingga RM1,000 setiap seorang dan Diskaun Pakej Pelancongan sehingga RM200 seorang.
“Anda boleh dapatkan pakej-pakej berdiskaun ini sepanjang Matta Fair berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 6 sehingga 8 September 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dan 55 cawangan berdaftar di bawah naungan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd,” katanya pada majlis pelancaran Diskaun Matta Fair Andalusia September 2024, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengurus Sumber Manusia, Nor Azilah Ahmad; Pengurus Pelancongan Muslim, Wan Norasikin Wan Ibrahim; Pengurus Akaun dan Audit, Ili Fatin Ibrahim; Pengurus Operasi Umrah, Norrul Balqes Abu Baker; dan Pengurus B2B dan Tiket, Yazid Mohamed.
Tambah Izzati, pihaknya turut menawarkan satu pakej istimewa khusus untuk para pelanggannya bersama Saudi Tourism Authority (STA) dan We Express Sdn. Bhd. iaitu Pakej Menelusuri Sirah dan Umrah bersama selebriti, Alif Satar yang akan diterbangkan pada 17 Disember sehingga 28 Disember ini.

“Pakej ini akan mendapat pengalaman yang lebih unik berbanding pakej umrah biasa kerana kami membawa anda melawati empat tempat ziarah baharu iaitu di Khaybar, Al-Ula, Jeddah dan Riyadh dengan harga pakej bermula RM12,290 sehingga RM15,990 seorang,” katanya.
Justeru, pihaknya menjemput orang ramai untuk hadir ke booth Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. di tingkat 3 MITEC, dengan booth bernombor 3M13 untuk mendapatkan 3,000 hadiah misteri untuk dimenangi serta merasai juadah pemanis yang dibawakan khas dari Arab Saudi. – HARAKAHDAILY 5/9/2024




















