
ROMPIN: Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Felda Keratong 7 musnah dalam kebakaran pada Khamis lalu.
Ishak Ramli, 71, berkata ketika kejadian, hanya empat orang anaknya berada di rumah kerana dia bersama isteri ketika itu berada di luar kawasan berikutan urusan keluarga.
“Saya merancang untuk pulang semula ke rumah pada belah petang tetapi terima berita yang rumah terlibat dalam kebakaran. Jadi terpaksa bergegas ke sini lebih awal.
“Tak sangka sekelip mata kami tinggal sehelai sepinggang. Mujur tiada kemalangan jiwa,” ujarnya.
Katanya, buat masa ini mereka tinggal sementara di homestay milik JKKR Keratong 7.
Menurutnya, pelbagai pihak yang sudah mengambil perhatian terhadap nasib yang menimpa keluarganya.
Tambahnya, bantuan yang diterima juga datang dalam pelbagai bentuk sama ada pakaian, makanan dan wang tunai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasa semua,” katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Rompin yang diwakili Mohd Khairul Fakhrin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad turut menziarahi keluarga Ishal dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban. (Foto atas)
Dalam pada itu, Ustaz Nazri turut membuka ruang kepada pihak yang prihatin kepada nasib mangsa yang ingin menyampaikan sumbangan.
Katanya, orang ramai yang ingin membantu meringankan Ishak sekeluarga boleh menghubungi pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Ibam di talian 011-15967647. – HARAKAHDAILY 5/9/2024












