
OTTAWA: Parti Demokrasi Baru Kanada (NDP) telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Parti Liberal yang dipimpin Perdana Menteri, Justin Trudeau.
Ketua Parti NDP, Jagmeet Singh berkata, kerajaan minoriti pimpinan Justin Trudeau berisiko untuk jatuh pada bila-bila masa dalam minggu atau bulan akan datang jika ia kehilangan sebarang undi keyakinan, yang boleh mencetuskan pilihan raya mengejut, lapor Global News.
“Parti Liberal telah mengecewakan orang ramai dan gagal untuk menyelesaikan isu ‘ketamakan korporat’, serta terlalu lemah, terlalu pentingkan diri dan terlalu bergantung kepada kepentingan korporat untuk memperjuangkan orang ramai,” katanya.
Dewan Rakyat ditetapkan untuk bersidang semula dari cuti musim panas pada 16 September ini, di mana NDP akan mengundi rang undang-undang kerajaan berdasarkan kepada ‘case-by-case basis’.
Sementara itu, dalam pengumumannya di Newfoundland dan Labrador pada Rabu, Trudeau tidak menyatakan sama ada pilihan raya akan berlaku, sambil memberitahu pemberita undian “akan datang pada tahun akan datang, semoga tidak sehingga musim luruh akan datang.”
“Saya tidak fokus pada politik. Saya benar-benar berharap NDP kekal fokus pada cara kami boleh menyampaikan untuk orang Kanada, seperti yang kami lakukan sejak beberapa tahun lalu, dan bukannya memfokuskan pada politik,” ujarnya.
NDP sebelum ini memeterai perjanjian ‘bekalan-dan-keyakinan’ (supply-and-confidence) dengan parti Liberal pada 2022, beberapa bulan selepas pengundi mengembalikan Liberal sebagai kerajaan dengan parti minoriti lain pada akhir 2021.
Perjanjian itu adalah berbeza daripada kerajaan campuran, di mana ahli daripada lebih daripada satu parti berkhidmat dalam kabinet bersama-sama dan mentadbir negara bersama.
Di bawah syarat perjanjian itu, NDP akan memastikan Liberal kekal berkuasa sehingga pilihan raya seterusnya pada 2025, sebagai pertukaran untuk kerajaan menyokong keutamaan dan kehendak NDP.
Perjanjian itu telah membolehkan NDP mencapai kemenangan dalam aspek perundangan dan penjagaan farmasi, serta penjagaan pergigian yang merupakan dua platform dan perjuangan terbesar parti itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 5/9/2024




















