
SILVERSTONE: Pemandu Formula One (F1) Aston Martin, Fernando Alonso berkata kemasukan Ketua Pegawai Teknikal Red Bull, Adrian Newey yang dikhabarkan akan menyertai pasukannya itu bermula musim hadapan tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu Aston Martin.
Beliau menekankan bahawa cabaran yang dihadapi oleh jentera AMR24 pasukannya itu tidak dapat diselesaikan dengan kedatangan seorang individu, malah seorang yang terkenal seperti Newey.
“Saya fikir bukan tugas seorang lelaki sahaja untuk membetulkan keadaan, ia lebih kepada apa yang kita ada sekarang dan apa yang kita hasilkan.
“Memahami apa yang berlaku ke arah yang betul, apa yang menuju ke arah yang salah, dan cuba bersedia dengan musim 2025 dengan cara yang lebih baik,” katanya.
Dengan musim 2025 adalah musim terakhir sebelum peraturan sukan perlumbaan itu berubah, adalah penting bagi Aston Martin meningkatkan ciri-ciri dan keupayaan jenteranya tidak lama lagi, dengan Alonso merasakan adanya masa untuk pasukannya itu mengubah keadaan.
“Saya rasa kita masih ada masa untuk bertindak balas. McLaren bertambah baik dalam tempoh empat bulan, dari kedudukan terakhir ke podium. Jadi kami mempunyai contoh yang jelas.
“Juga, Mercedes bermula sama seperti kami. Kami setanding dengan Mercedes untuk empat perlumbaan pertama, dan mereka telah memenangi tiga perlumbaan tahun ini. Jadi saya bukan peminat kepada alasan,” katanya.
Sejak Adrian Newey mengumumkan bakal meninggalkan pasukan Red Bull pada Mei, khabar angin telah mengaitkannya dengan pasukan Aston Martin, Ferrari, McLaren, Alpine, dan Williams. – Agensi/ – HARAKAHDAILY 5/9/2024




















