
KUALA TERENGGANU: Terdapat perbezaan jelas antara keuntungan syarikat dan hasil negeri, khususnya dalam isu pembahagian keuntungan sebanyak 25 peratus yang diumumkan oleh Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keuntungan syarikat tidak boleh disamakan dengan hasil yang diterima oleh negeri, seperti Terengganu.
Menurutnya, hasil syarikat seperti Petronas, yang merupakan entiti di bawah kerajaan Persekutuan, adalah keuntungan syarikat yang dibahagikan mengikut peraturan tertentu.
“Hasil syarikat ini sama dengan hasil dari negeri lain menjalankan syarikat di negeri Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor jadi tentulah ada hasil syarikat.
“Saya rasa ramai orang keliru sebenarnya, duk bayangkan kita bagi-bagikan hasil di Kedah bahagi ke negeri lain tidak, itu operasi syarikat adalah perkara yang berbeza.
“Keuntungan syarikat bukan keuntungan negeri. Keuntungan negeri itu ialah hasil kepada negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Samsuri juga menekankan bahawa fokus utama bukan semata-mata pada keuntungan syarikat, tetapi lebih kepada usaha mengukuhkan kuasa rundingan dalam sebarang urusan ekonomi.
“Yang paling penting bukan keuntungan syarikat itu yang dikejar, yang kita mahu ialah ‘consolidation of bargain power’ dalam menjalankan apa-apa urusan,” katanya.
Samsuri berkata, SG4 memiliki potensi besar dalam industri sumber baharu apabila hampir 70 peratus unsur nadir bumi (REE) Malaysia berada di kumpulan itu.
“Jadi usaha mengukuhkan kuasa rundingan yang diperlukan dalam kita membuat apa-apa pertimbangan,” katanya.
Mengulas mengenai masa depan kerjasama SG4 sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri selepas pilihan raya umum (PRU), beliau berkata pihaknya masih mempunyai tempoh dua hingga tiga tahun untuk membuktikan potensinya.
“Itu cerita panjang lagi. Kita ada tempoh dua tahun setengah hingga tiga tahun ini untuk membuktikan potensi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











