
PENDAKWAH bebas, Ustazah Asmak Husin, menegaskan bahawa rogol adalah satu jenayah yang perlu diinsafi, bukan ujian yang harus diterima dengan reda atau disalahertikan sebagai alasan untuk bersimpati terhadap pelakunya.
Beliau berkata, mangsa rogol kebiasannya akan mengalami depresi, gangguan pemakanan, tingkah laku berisiko dan sabotaj diri.
Mengulas berhubung perdebatan hangat yang tercetus di media sosial mengenai hukuman terhadap pesalah rogol, beliau berkata, masih ada netizen yang bersimpati terhadap pelaku, ramai yang turut menyalahkan mangsa atau merasa hukuman tidak adil kerana pelaku dikatakan sudah berubah atau kerana memikirkan nasib keluarga penjenayah.
“Harus diingat rogol adalah jenayah dalam Islam. Begitu juga zina. Biar apapun puncanya tetapi rogol tetap rogol dan ia adalah jenayah.
“Menormalisasikan rogol melalui video, filem adalah bersalah dengan syariat. Statutory rape dianggap jenayah walaupun ia dilakukan suka sama suka (zina) tetapi melibatkan dewasa dan bawah umur kerana sepatutnya yang dewasa sudah mukalaf dan matang dan sepatutnya melindungi yang bawah umur bukan memanipulasi atau membiarkan diri termanipulasi.
“Apatah lagi rogol dengan paksaan disertai kekerasan. Islam tidak bertolerasi dengan jenayah seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Asmak turut menjawab beberapa persoalan popular mengenai isu rogol:
1. Patut ke perogol dihukum kalau dia sudah bertaubat?
Soal bertaubat adalah urusannya dengan Allah tetapi hukuman tetap dijalankan kerana jenayah sudah berlaku. Ia boleh dirujuk berdasarkan kisah daripada zaman Rasulullah SAW.
2. Kesian dekat ahli keluarganya
Itulah harga yang perlu dibayar. Oleh itu, wali terutamanya tidak boleh lepas tangan dalam menafkahi dan menjaga keluarga penjenayah. Tidak boleh memberi alasan keluarga penjenayah, maka diabaikan sebab tanggungjawab keluarga tetap terikat seperti biasa. Maka datuk, bapa saudara perlu menjaga kebajikan dan halatuju keluarga yang ditinggalkan. Masyarakat juga tidak seharusnya menambah luka pada keluarga kerana yang bersalah sudah dihukum.
3. Bukan salah perogol, yang dirogol juga bersalah
Ada juga kebenarannya sekiranya mangsa mengundang kepada berlaku jenayah tetapi bukan bermakna jenayah patut berlaku kerana ada ruang dan peluang. Walaupun mangsa datang bergolek sekalipun, rogol, zina tetap jenayah
4. Perogol patut dikecam kerana membuat jenayah?
Apa yang patut adalah mengambil iktibar daripada jenayah yang berlaku. Yang pasti hukuman itu untuk memberi manfaat kepada pesalah dan masyarakat juga. Siapa kita untuk mengecam pesalah secara personal tetapi perbuatan jenayah tetap tidak boleh kita terima dan toleransi.
5. Perlu ke pencegahan untuk keselamatan diri?
Sangat perlu. Ruang jenayah patut ditutup. Ini adalah peraturan asas dalam hidup. Sebab itu Islam menitikberatkan bab aurat, pergaulan, melindungi wanita di rumah, di luar mahupun tempat kerja, pemerkasaan tanggungjawab keluarga, hukuman Islam dan lain-lain.
Berhentilah menayangkan video atau filem yang menggambarkan kejadian rogol. Ia boleh mencetus jenayah di kalangan masyarakat. Cukuplah dengan tragedi yang berlaku di India apabila doktor wanita pun tidak selamat di kalangan rakan sendiri di tempat kerja. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











