
KOTA BHARU: Pelbagai pihak tidak perlu bimbang SG4 Group Sdn Bhd yang ditubuh Kerajaan Empat Negeri (SG4) tidak menjejaskan mana-mana entiti.
Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, syarikat itu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kata beliau SG4 Group berperanan mengembangkan lima kluster termasuk infrastruktur, logistik, pertanian dan pendidikan.
“Empat negeri yang menyertai syarikat berkenaan mempunyai satu entiti yang boleh dilantik menjadi pemegang saham dan mereka juga bila-bila masa sahaja boleh keluar daripada syarikat.
“SG4 ialah sebuah syarikat. Jadi syarikat tempatan atau luar negara juga boleh menyertainya. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja dan ada pemegang saham serta ahli lembaga pengarah,” katanya kepada media di sini petang semalam.
SG4 mengadakan Sidang Kemuncak pertama pada Isnin lepas dengan menghimpunkan semua wakil rakyat PN di Bangi, Selangor.
Pada sidang itu Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan dengan membentuk SG4.
Bagaimanapun kewujudan SG4 Global mengundang tidak senang hati pemimpin Umno apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilapor mempersoalkan nasib syarikat SG4 Group jika kerajaan negeri di bawah PN tumbang.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, pemimpin Umno terbabit perlu faham antara peranan kerajaan dan syarikat.
“SG4 boleh disertai mana-mana syarikat untuk kepentingan ekonomi rakyat di empat negeri terbabit. Atas persetujuan bersama juga mereka boleh membuat resolusi untuk keluar daripada syarikat.
“Dalam sebuah syarikat, jika mahu tambah daripada empat menjadi enam pun boleh atau ada yang mahu keluar, itu juga dibolehkan, tidak ada masalah,” katanya.
Menurutnya juga agihan keuntungan perniagaan, manfaat akan diperoleh semua negeri terlibat yang akan diagihkan sama rata. – HARAKAHDAILY 4/9/2024




















