
SHAH ALAM: Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) merupakan kerjasama strategik untuk mengukuhkan kemudahan infrastruktur dan utiliti.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama itu merupakan inisiatif pelaksanaan permindahan kepakaran bagi mewujudkan persekitaran koridor utiliti yang mampan serta kondusif.
“Usaha sama ini dijangka membuka ruang untuk Kedah meningkatkan kapasiti infrastruktur dan memperluaskan usaha pembangunan utiliti yang lebih mampan dan mencontohi KUSEL yang telah berjaya mengurus laluan kemudahan utiliti khususnya di Selangor,” katanya.
Terdahulu ujar beliau, Kerajaan Negeri Kedah telah menubuhkan Agensi Penyelaras Koridor Utiliti Negeri Kedah melalui UiDA iaitu anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah.
UIDA jelasnya merupakan Agensi Sehenti (OSA) kepada pembangunan koridor utiliti yang turut menyediakan perkhidmatan utiliti berkaitan seperti bekalan air bersih dan tenaga elektrik, bekalan gas dan rawatan air terpakai.
Sanusi berkata demikian pada Majlis MoU UiDA-KUSEL di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.
“Semua pihak diharapkan memberi sokongan dan kerjasama sebaiknya khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan koridor utiliti yang lebih selamat dan teratur.
“Saya yakin dengan kemahuan dan kesungguhan bersama dalam membawa perubahan, akan memberikan manfaat yang besar pada kelestarian kehidupan semua pihak,” kata beliau lagi.
Sementara MoU antara UiDA dan KUSEL yang disaksikan beliau dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari diharapkan menjadi usaha sama yang mendapat sokongan padu dari kedua-dua pihak.
Turut hadir mewakili Kerajaan Negeri Kedah antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Fauzi Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Zafir Annuar Ghazali. – HARAKAHDAILY 4/9/2024













