Kecaman Ketua Pemuda UMNO terhadap Tuan Ibrahim dangkal, tidak relevan

- Advertisement -

SEBAGAI Ketua Pemuda UMNO bukanlah luar biasa untuk Datuk Dr. Akmal Saleh mempertahankan bosnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan gesaan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya Timbalan Perdana Menteri itu diberikan cuti bagi membolehkan siasatan terhadapnya dilaksanakan secara bebas.

Itu lumrah.

Bagaimanapun apabila Dr. Akmal mempersoalkan mengapa Tuan Ibrahim tidak mengambil tindakan yang serupa terhadap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang sedang berhadapan kes mahkamah dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ini jelas memperlihatkan kedangkalan dirinya sendiri.

- Advertisement -

Gesaan Tuan Ibrahim supaya Ahmad Zahid diberikan cuti adalah berkait dengan dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke 16 ketika mengemukakan akuan berkanun (SD) dalam proses pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 pada 19 November 2022.

Menurut pemimpin PAS itu, siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk sejauh mana akujanji mematuhi kehendak undang-undang dan tiada unsur paksaan.

“Apa jaminan kalau (terbukti) berlaku salah urus atau penipuan kepada Yang di-Pertuan Agong? Apakah Ahmad Zahid sedia meletak jawatan?” Soalnya.

Justifikasi kenyataan itu ialah kedudukan Ahmad Zahid sendiri selaku pemimpin No. 2 dalam Kerajaan Persekutuan yang sudah jelas mempunyai pengaruh kuasa ke atas semua agensi kerajaan termasuk yang akan menyiasat dirinya jika siasatan itu dijalankan.

Persoalannya ialah, bagaimana siasatan dapat dijalankan secara telus dan bebas jika orang yang disiasat masih memegang jawatan dengan pengaruh kuasa yang begitu kuat dalam kerajaan?

Bersatu, sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sudahpun membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid.

Beliau sendiri dalam satu kenyataan mengatakan sedia disiasat.

Sebagai petunjuk keraguan, Tuan Ibrahim dberkata “persoalan utama ialah apa hasil selepas siasatan sedangkan 47 kes sebelum ini pun ditarik balik?”

Beliau merujuk kepada 47 pertuduhan rasuah yang pernah dihadapi oleh Ahmad Zahid di mahkamah digugurkan selepas pihak pendakwaan membuat keputusan untuk menghentikan prosiding.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada kesemua pertuduhan itu pada 4 September 2023, selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Justeru gesaan Tuan Ibrahim supaya Ahmad Zahid diberikan cuti sementara dirinya disiasat adalah demi memastikan keyakinan awam terhadap institusi keadilan dan penguatkuasaan undang-undang negara terus terjamin.

Mengaitkan Menteri Besar Kedah yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan kenyataan Tuan Ibrahin adalah jelas tidak relevan. Ini sekadar menyerlahkan sikap jahil dan semberono beliau dalam mempertahankan bosnya.

Jika benar siasatan ke atas Ahmad Zahid mahu dijalankan, yang akan menyiasat dan mendakwa adalah agensi Persekutuan yang mana Timbalan Perdana Menteri ada pengaruh kuasa.

Berbeza dengan Ahmad Zahid, Menteri Besar Kedah dan Menteri Besar Perlis tidak ada pengaruh kuasa ke atas agensi Persekutuan dan sama sekali tidak ada ruang untuk memanipulasi.

Adalah diharapkan Dr. Akmal lebih jujur dan berhati-hati dalam membuat kenyataan agar beliau tidak kecundang dalam usaha melonjakkan dirinya sebagai hero tunggal dalam UMNO yang masih memperjuangkan Melayu dan Islam.

Jangan nanti di sana mengeji, di sini pula membenci. Pucuk tidak sampai ke langit, akar pula tidak menjejak tanah! – HARAKAHDAILY 4/9/2024

Penulis ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -