Rushdan kenal pasti peluang latihan industri anak tempatan

- Advertisement -

PADANG BESAR: Dalam usaha mengenalpasti industri yang bersedia menerima pelajar untuk latihan industri dalam bidang asas teknikal dan lanjutan, Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi melawat premis Ideas Cad Technology Sdn. Bhd di Shah Alam.

Lawatan tersebut dilakukan bersama-sama pasukan Al Jazari Centre of Excellence (COE) Padang Besar.

Menurut Rushdan, beliau telah diberi penerangan oleh pemilik syarikat tersebut, Ts Norsham Ismail, yang juga merupakan anak kelahiran Perlis.

- Advertisement -

“Syarikat berkenaan adalah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam teknologi mesin dan produk kejuruteraan mekanikal.

“Bidang utama mereka meliputi fabrikasi keluli, perkhidmatan lukisan teknikal 2D dan 3D, serta reka bentuk,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, Rushdan dan pasukannya diberi peluang untuk memahami lebih lanjut tentang inovasi yang dilakukan oleh syarikat dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Selain itu, Rushdan turut berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif The Future Research, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed, serta sekretariat beliau.

Dr Anuar Shah terkenal dengan penglibatan aktifnya dalam pembentangan kertas kerja, forum, bengkel, serta penyelidikan berkaitan ekonomi.

Rushdan juga menyatakan bahawa beliau sering mengikuti tulisan Dr Anuar Shah di akhbar tempatan.

Kedua-dua pihak juga berbincang mengenai kemungkinan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan latihan kemahiran yang bertujuan untuk mengubah cara fikir dan cara hidup.

Menurutnya, Dr Anuar Shah bersetuju untuk mengadakan program-program berkaitan di Perlis dalam masa terdekat, yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -