
KUALA LUMPUR: Program Bicara Harakah kembali lagi dengan topik santai pada malam ini, menampilkan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Mesra dengan panggilan Dr Bala yang telah berjuang bersama PAS kira-kira 19 tahun, beliau pernah menyatakan bahawa PAS berbeza dengan parti-parti lain yang tidak menjadikan dosa dan pahala sebagai panduan dalam kehidupan dan perjuangan.
Justeru, dalam program yang bakal berlangsung pada jam 9.30 malam ini akan membuktikan slogan PAS iaitu ‘PAS untuk semua’ melalui bual bicara bersama beliau bagi menerangkan DHPP ini adalah ‘Ejen Perpaduan’ sekaligus menjadi topik Bicara Harakah pada malam ini.
Topik perbincangan berjudul, DHPP Ejen Perpaduan yang diketengahkan amatlah sesuai dengan kehangatan Hari Kebangsaan yang ke-67 dan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 September kelak bagi menghayati erti sebenar perpaduan dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum ini.
Dalam program yang boleh disaksikan secara langsung di @harakahdailyHD ini juga, akan diterangkan peranan DHPP dalam Sidang Muktamar PAS kali ke-70 yang tidak lama akan berlangsung kurang lebih seminggu sahaja lagi. – HARAKAHDAILY 4/9/2024




















