
BANGI: ‘Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan’ menjadi pemula bagi hala tuju pendidikan di bawah syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) iaitu penubuhan empat kerajaan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad berkata, aspek utama di dalam SG4 ialah penekanan pada aspek pendidikan bagi mewujudkan Koridor Pendidikan Utara-Timur dengan niche tersendiri berasaskan Dasar Pendidikan Rabbani.
Beliau berkata demikian ketika turut menghadiri Majlis Taklimat Garis Panduan dan Pelancaran ‘Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan’ di sini.
“Ini adalah berita gembira buat calon-calon sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk seluruh rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berkata, Kelantan merupakan negeri yang paling ramai mahasiswa-mahasiswi di universiti sekitar 51,000 orang diikuti oleh Johor dengan 49,000 orang.
Tambahnya, banyak model pendidikan di Kelantan yang dijadikan rujukan antaranya Maahad Sains Tahfiz yang dimulakan di Pulau Chondong, Machang.
“Walau bagaimanapun, tuisyen ini bukan sahaja untuk mereka yang belajar di Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) tetapi ia terbuka kepada semua sekolah harian di Kelantan,” ujarnya.
“Program tuisyen ini merupakan satu inisiatif yang amat baik daripada Kerajaan Negeri Kelantan melalui Exco Pendidikan, Wan Roslan Wan Hamat bagi membantu murid-murid, khususnya yang akan menduduki SPM tidak lama lagi.
“Insya-Allah, nantikan pengumuman selanjutnya melibatkan program ‘Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan’,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024




















