SG4 inisiatif terpenting bina jaringan pelbagai sektor

Nushi (kanan) membacakan doa dalam Sidang kemuncak SG4 di Bangi, Selangor pada Isnin, 2 Sept 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Kerajaan Empat Negeri (SG4) yang telah diadakan di Bangi, Selangor, semalam merupakan inisiatif penting untuk membina jaringan kerjasama dalam pelbagai sektor seperti sumber asli, teknologi hijau, pertanian, perdagangan dan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata SG4, berusaha memastikan setiap negeri mendapat manfaat yang setara dan mempercepatkan pembangunan dalam pelbagai sektor demi membangunkan sosioekonomi rakyat.

- Advertisement -

“Salah satu titik penting yang dibincangkan adalah bagaimana negeri-negeri Pantai Barat yang semakin mencapai saturasi dan menghadapi kekangan sumber dapat membuka ruang kepada SG4 untuk menarik pelaburan dengan kos yang lebih efektif.

“Ini memberi peluang kepada negeri-negeri yang tertindas untuk lebih berkembang melalui potensi zon industri yang luas dan sumber asli yang belum diteroka sepenuhnya,”  katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Nushi yang juga Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, berkata sidang kemuncak ini bukan sahaja bertujuan untuk menjalin kerjasama antara negeri-negeri tetapi juga untuk memastikan pentadbiran yang berintegriti dan cekap.

“Penubuhan entiti korporat SG4 yang dimiliki secara bersama oleh keempat-empat negeri berusaha untuk membawa masuk pelaburan baru akan lebih terselaras dan berkesan. 

“Harapannya, ini akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui sosioekonomi yang mampan dan pembangunan yang berimpak tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor berkata, perkara ini turut dilihat sebagai satu langkah yang sangat baik untuk memastikan kebersamaan dalam membangunkan negeri-negeri yang selama ini dipinggir dan ditindas. 

“Mudah-mudahan dengan kesatuan dan kerjasama ini, kita dapat mencapai hasil yang lebih lumayan dan memberi impak positif kepada masyarakat di negeri-negeri SG4,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -