
JOHOR BAHRU: Pencemaran bau yang dikesan disebabkan bahan kimia di kawasan berdekatan Tebrau, Johor Bahru pada awal pagi ini, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Muhammad Syahhir Ikhwan Mohamad berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 1.30 pagi hari ini.
Menurut beliau, hasil tinjauan pihak bomba di lokasi yang dimaklumkan, kemungkinan bau tersebut berpunca daripada bahan kimia dan berlaku di sekitar 3 kawasan utama iaitu Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa.
“Bau tersebut juga masih belum dapat dikenalpasti jenis dan tahap kemerbahayaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pasukan BBP Tebrau serta Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) daripada BBP Larkin telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera FRT dan satu kenderaan Unit EMRS sejurus selepas dihubungi.
Oleh itu, 19 anggota bomba termasuk Unit HAZMAT telah membuat pemantauan secara menyeluruh.
“Bacaan udara menggunakan alat pengesan gas di lokasi turut dilakukan dan operasi ini masih lagi diteruskan sehingga kini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024




















