‘Saya lihat nelayan masih miskin, apa hasil tukun?’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Apa hasil program tukun. Saya lihat nelayan Terengganu masih miskin!”

Demikian persoalan yang dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu menerusi laman sosialnya, hari ini.

Ini susulan ada kalangan tertentu yang mempersoalkan hasil daripada tukun yang telah dilabuhkan di beberapa tempat sekitar laut negeri ini.

- Advertisement -

“Jangan mudah buat kesimpulan dangkal begitu saudara. Setiap sektor pekerjaan ada yang kaya, sederhana dan miskin.

“Tak betul kalau pakai beli sebakul terus begitu. Pilih dulu yang mana buah buruk dan yang elok,” ujarnya.

Beliau menceritakan seorang kawannya nelayan fiber zon A yang boleh mendapat hasil antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Tambahnya, bagi nelayan bubu bot B yang pergi ke laut tiga malam boleh membawa balik dengan sekitar RM20,000 hasil tangkapan.

“Macam mana saudara boleh pukul rata semua miskin kalau aset seorang nelayan yang memiliki bot laut dalam kelas C bernilai jutaan ringgit.

“Bot bernilai jutaan ringgit tapi awak-awak ke laut tinggal dalam air gitu je. Tak bawa balik rumah pun. Kita kereta Myvi bungkus kemas bawah garaj.

“Saya rasa saudara tersilap kerana pergi jumpa dengan orang yang duduk main dam aji atas wakaf tepi pantai lalu terus buat kesimpulan dengan nada berbaur menghina para nelayan,” katanya lagi.

Menurutnya, pada tahun 2023 tangkapan nelayan Terengganu yang direkodkan berjumlah kira-kira 46,000 metrik tan bernilai kira-kira RM553 juta.

“Miskin apa kalau hasil tangkapan lebih setengah bilion ringgit. Banyak lagi hasil tangkapan yang tak dilaporkan,” ujarnya yang juag ADUN Jabi.

Semalam, jelasnya di Pentas SG4  telah dibincang dan bersepakat antara empat negeri untuk fokus program memperkayakan sumber perikanan.

Tambahnya, hari ini pihaknya telah melabuhkan 20 unit tukun di perairan Dungun.

Katanya lagi, pelaksanaan segera dengan apa yang disepakati dalam SG4.

Beliau menjelaskan, negeri-negeri SG4 lain juga telah memberikan komitmen untuk memperuntukan sejumlah bajet dalam Belanjawan 2025 bagi program tukun tiruan.

“Bukan hanya Terengganu tapi kami ingin bergerak seiiring bersama Kelantan, Terengganu dan Kedah,” jelasnya.

Menurutnya, cuma Perlis sahaja tidak mempunyai perairan yang sesuai untuk dilabuhkan tukun tiruan dan mereka akan fokus dengan program unjam. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -