
KLANG: Meter air kembali menjadi sasaran pencuri yang ingin mengaut keuntungan mudah di bandar ini.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, berkata beliau dimaklumkan oleh Air Selangor bahawa terdapat sebanyak 1,000 kes kehilangan meter air di rumah dan industri di Klang.
“Saya mohon agar semua warga untuk peka, mengambil tindakan dan melaporkan segera isu ini kepada pihak Air Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sekiranya ada perkara yang mencurigakan di tempat masing-masing laporkan segera perkara ini kepada pihak berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran kenyataan yang berasingan, beliau dan juga pasukannya telah mengadakan lawatan kerja ke Air Selangor Wilayah Klang bersama Ketuanya, Ts Ezrul Azzim Wahid.
“Dalam pada itu, beliau turut memberikan beberapa siri taklimat berkenaan perkhidmatan di bawah Air Selangor,”ujarnya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa sebanyak empat buah rumah flat di Seksyen 24, Shah Alam turut berlaku kehilangan meter air sewaktu hujan lebat pada waktu petang.
Mangsa, Mohd Sukri Mohd Zain, 39, kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pihak Air Selangor untuk tindakan lanjut.
“Ini merupakan kejadian pertama berlaku sejak saya menetap di sini, lebih lima tahun lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024




















