‘Jiwa merdeka’ bukan sekadar lenyap diratah penjajah

Afnan Hamimi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “‘Jiwa merdeka’ bukan hanya semata-mata berjaya lenyap daripada diratah oleh penjajah.”

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, negara Malaysia pada hari ini sudah menempa pelbagai pembaharuan dan kemajuan berbanding dengan zaman sebelum ini.

- Advertisement -

“Lagi 33 tahun maka genaplah seabad negara ini menyambut hari kemerdekaan yang mana tempoh yang telah dilalui ini bukan suatu masa yang singkat. 

“Jika pada awal kemerdekaan dahulu keadaan serba-serbi kekurangan namun negara hari ini sudah menempa pelbagai pembaharuan dan kemajuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, negara ini juga sudah mula dikenali di seluruh dunia jika dibandingkan dengan waktu sebelum ini.

Tambahnya, ini kerana tiada siapa pun yang kenal jika nama negara Malaysia disebut kepada masyarakat antarabangsa.

“Kemajuan yang tercipta dari zaman berzaman telah membentuk jiwa masyarakat itu sendiri. 

“Sama ada sedar ataupun tidak, hampir tiada manusia hari ini yang masih menggunakan dapur kayu, menggunakan pelita ayam dan  mandi di perigi kerana semuanya sudah mempunyai akses yang lebih baik dan selesa.

“Malah, kita sudah capai titik yang agak tinggi dari segi pendidikan, teknologi, pembangunan dan sumber manusia yang mana semuanya berada dalam  posisi yang membanggakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Afnan juga mempersoalkan sama ada kemerdekaan yang disambut bertahun-tahun ini telah berjaya membentuk jati diri masyarakat yang lebih baik.

Kata beliau lagi, perkara sebegini dibuktikan dengan bilangan pelajar yang berakhlak mulia melalui sistem pendidikan yang ada pada hari ini.

“Pendidikan yang dibanggakan itu, berapa ramai yang mampu mencipta pelajar yang berakhlak mulia, yang sedar akan tanggungjawab dan peranannya?

“Kemajuan yang dibanggakan ini adakah sudah mampu membina rumah tangga yang harmoni tidak seperti hari ini yang mana hampir setiap masa tularnya isu perceraian?

“Teknologi yang kita ada pada hari ini sejauh manakah dapat digunakan untuk membantu golongan yang susah itu? Ini kerana apa yang terjadi ialah golongan yang kaya sahaja merasainya manakala golongan miskin terus merana.

“Jadi, di mana kemerdekaan yang dilaungkan setiap tahun itu? Takkanlah ia hanya sekadar sorak. Kemerdekaan juga memberi makna untuk tidak terbelenggu dengan anasir yang merosakkan jati diri itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/9/2024

- Advertisement -