19 pemancar baharu tingkatkan liputan 4G di Padang Terap

- Advertisement -

PADANG TERAP: Daerah Padang Terap bakal menerima liputan 4G lebih pantas apabila 19 pemancar baharu beroperasi sepenuhnya, demikian menurut Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid.

- Advertisement -

Katanya, melalui program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu, liputan internet 4G akan meningkat sehingga 95.66 peratus berbanding 63.28 peratus sebelumnya.

“Saya dimaklumkan 12 pemancar baharu telahpun siap untuk dilaksanakan, sementara tujuh lagi masih dalam proses pemasangan peralatan dan talian oleh pihak syarikat telekomunikasi.

“Walau bagaimanapun, proses itu dijangka siap serta dapat berfungsi sepenuhnya pada akhir 2024,” jelas beliau yang terdahulu berkunjung ke
pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Kedah.

Pertemuan itu untuk berbincang aduan penduduk mengenai liputan yang agak lemah di mana daripada Pengarah SKMM Kedah, Mazlan Othman, beliau menerima laporan terkini berkenaan perkembangan projek JENDELA tersebut.

Sebanyak 12 pemancar baharu yang telah siap dilaksanakan melibatkan di Kampung (Kg) Paya Terap, Sukamari, Bukit Nyamuk, Kuala Jaring, Kg Sena, Kuala Tualak dan Kg Musa, juga Kampung Bukit Buloh, Tong Pelu, Berlukar Luas, Kampung Sireh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lamdin.

Sementara tujuh masih belum siap sepenuhnya ialah di Kg Bukit Nambua, Kota Putra Durian Burung, Kg Baru Padang Sanai, Kg Barokhas, Kg Padang Tok Bakong, Kg Sungai Khap Thai dan Kg Masjid Baru.

“Kualiti liputan 4G yang merundum di beberapa kampung seperti Kampung Padang Kerasak, Naka juga disebabkan proses menaik taraf Celcom Digi melalui proses penggabungan Network Integration Cluster (NIC).

“Proses naik taraf yang dijangka siap 6 September ini, bukan saja melibatkan daerah Padang Terap tetapi juga di beberapa daerah lain,” ujar beliau lagi.

Beliau yakin dengan komitmen tinggi pihak SKMM dan pihak lain yang terlibat, projek berbaki akan siap sepenuhnya sepertimana dijadualkan, sekali gus dapat menyelesaikan isu liputan 4G itu. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

- Advertisement -