Sayu hati dengar cerita pesakit kanser

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu sayu hati apabila mendengar cerita pesakit kanser.

Ini susulan tiga pesakit yang beliau ziarahi baru-baru ini semuanya menghidap kanser.

Katanya, pesakit pertama diuji Allah dengan kanser payudara, pesakit kedua pula katanya bukan kanser rahim tetapi sejenis kanser berkaitan dengan rahim sementara seorang lagi disahkan doktor menghidap kanser paru-paru.

- Advertisement -

“Sayu juga hati bila mendengar cerita ketiga-tiga mereka. Bila melibatkan kanser, kita semua tahu bukan mudah untuk melaluinya.

“Masing-masing dengan cerita kesulitan dan kerunsingan masing-masing baik pesakit mahu pun ahli-ahli keluarga,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, pesakit kanser payudara semakin merosot kesihatannya sejak dua, tiga bulan lalu. Katanya, penghidap kanser paru-paru pula masih baru lagi disahkan kanser tahap 4.

“Dia masih terkejut apabila dimaklumkan doktor kerana ia tiba-tiba tanpa simptom yang ketara, apatah lagi di tahap 4,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi pesakit kanser berkaitan dengan rahim pula sudah lama menanggung ujian dengan menjalani rawatan demi rawatan sudah beberapa tahun.

“Namun dia kelihatan sabar dan tabah. Dia nampak tenang apabila bercerita mengenainya.

“Sama-sama kita doakan kebaikan dan kesembuhan daripada Allah untuk ketiga-tiga mereka. Juga agar mereka seisi keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian Allah.

“Kata Nabi SAW, apabila kita mendoakan kebaikan kepada seseorang tanpa pengetahuannya, insya Allah doa itu akan berbalik kepada kita,” tambahnya.

Andansura turut memetik sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya, dan bagi kamu seperti yang didoakan”. (Hadis Riwayat Muslim) – HARAKAHDAILY 1/9/2024

- Advertisement -