Elaun Skuad Sabil: PN bezakan parti dan kerajaan

- Advertisement -

SEREMBAN: Parti-parti Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) disaran untuk mencontohi sikap para pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang sentiasa memisahkan antara parti dan kerajaan.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan dari Pn sentiasa mengelakkan diri dari menggunakan jentera dan dana kerajaan untuk kepentingan parti.

“Kita tengok contoh MB Kedah, hal parti dia uruskan cara parti, hal kerajaan dia uruskan cara kerajaan. Maknanya di situ ada satu sistem yang profesional.

“Ia penting untuk seorang yang menjadi ketua yang paling tinggi dalam satu-satu kerajaan ataupun satu-satu parti ni,” katanya.

Tambah beliau, parti adalah parti dan kerajaan adalah kerajaan, dua perkara yang berbeza di mana mentadbir kerajaan tidak boleh dibuat seperti mentadbir parti.

Beliau mengulas pengumuman Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa badan beruniform parti itu, Skuad Sabil akan dibayar elaun oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sewaktu Persidangan Agung Umno baru-baru ini.

Tambah beliau, tindakan mengumumkan perkara itu menunjukan Zahid seolah-olah terdesak untuk mendapatkan sokongan daripada anak muda.

“Benda ni dibuat hanya nak menarik golongan muda daripada Umno.  Zahid nak menunjukkan dia masih relevan sebagai Presiden.

“Dia nak menyelamatkan dirinya tapi dalam masa yang sama dia telah menyusahkan pihak-pihak yang lain dalam keadaan dia tak sedar benda ni,” katanya.

Beliau turut menempelak Pakatan Harapan (PH) yang memimpin Kerajaan Madani kerana dilihat tidak membantah tindakan dilakukan Umno itu di mana jelas bertentangan dengan tata kelola mereka perjuangkan.

“Sejak bersama PH ni dengan mentor dia Anwar Ibrahim, mereka jadi seolah-olah kerajaan ni hak milik mereka. Tak sedar kerajaan ini hak milik rakyat dan amanah yang besar,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2024

- Advertisement -