Kitab sihir bawah singgahsana Nabi Sulaiman?

- Advertisement -

ORANG Yahudi terlalu ramai di Madinah. Ketika Nabi sampai di Madinah, terdapat empat hingga lima suku kaum Yahudi yang besar seperti Bani Qainuqa, Bani Nadhir, Bani Quraizah dan sebagainya. Cerita-cerita datang daripada mereka. Sehingga Nabi menegur orang-orang Islam supaya beringat.

Apabila mendengar cerita mereka, Nabi berpesan supaya jangan ‘telan bulat-bulat’. Ada yang kita boleh mendengar sahaja, tetapi tidak boleh menerimanya. Boleh terima atau tidak bergantung, adakah ia menepati al-Quran dan Sunnah Nabi atau tidak.

- Advertisement -

Sayyidina Umar memarahi orang Islam yang belajar dengan pendeta-pendeta Yahudi. Duk mendengar cerita yang pelik-pelik. Adakah belum memadai apa yang ada dalam al-Quran dan Hadis? Malah Nabi pun masih ada bersama-sama mereka. Adakah belum mencukupi dengan ayat-ayat yang Allah hantar? Memang cerita-cerita sebegini ada dalam kitab tafsir lama, cuma kita perlu menapisnya.

Sebagai contoh, ada cerita yang menyatakan bahawa Nabi Isa mempunyai ayah. Kerja ayahnya sebagai tukang kayu. Kalau orang yang tidak cermat akan menganggap cerita ini betul sebab ia ada dalam kitab. Sedangkan sebahagian ulama lama hanya memetik cerita tersebut, tetapi tidak menyatakan bahawa sama ada ia boleh digunapakai atau tidak.

Masalah besar cerita ini ialah malaikat mengajar sihir. Sedangkan malaikat tidak melakukan perkara yang tidak baik dan tidak akan derhaka kepada Allah SWT. Perkara ini berlaku selepas zaman Nabi Sulaiman. Setelah Nabi Sulaiman wafat, syaitan menyebarkan maklumat. Katanya Nabi Sulaiman mengamalkan ilmu sihir. Sebab baginda boleh terbang dan memerintah jin.

Memang Nabi Sulaiman boleh terbang menggunakan angin. Boleh pergi dari Timur ke Barat dalam tempoh masa yang singkat. Baginda juga boleh mengarahkan jin untuk membina istana dan mengambil mutiara di dalam laut. Jin gerun dengannya. Jadi setelah Nabi Sulaiman wafat, syaitan menyebarkan maklumat kononnya baginda mengamalkan ilmu sihir.

Kata syaitan, ilmu sihirnya ada dalam kitab. Kitab itu berada di bawah kerusi yang baginda duduk. Baginda akan selalu duduk di kerusi atau singgahsananya untuk mendengar aduan dan masalah rakyatnya dari waktu pagi sehingga petang. Ada orang memecahkan kerusi tersebut dan menemuinya. Entah dari mana syaitan ambil dan letak di situ.

Dalam filem pun, dilakonkan mengenai kitabnya yang penuh dengan ilmu-ilmu sihir yang pelik. Orang percaya sehingga ke hari ini.

Apabila perkara ini berlaku, Allah menurunkan ayat 102, daripada Surah Al-Baqarah. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -