
SEOUL: Sepasang suami isteri warga emas telah dibawa ke hospital selepas kereta yang mereka naiki terjatuh ke dalam lubang benam bersaiz besar di Korea Selatan pada hari ini, Khamis (29 Ogos).
Wanita berusia 76 tahun itu mengalami serangan jantung dan diberi bantuan pernagasan kecemasan (CPR), lapor agensi berita Korea Selatan, JoongAng Daily.
“Nadinya kembali normal kemudian,” ujar laporan itu yang menambah bahawa tidak jelas apakah kecederaan yang dialami lelaki berusia 82 tahun itu, jika ada.
JoongAng Daily dalam laporannya juga berkata, pasangan itu dalam perjalanan di sepanjang Seongsan-ro menuju ke Jambatan Seongsandaegyo apabila lubang benam tiba-tiba muncul kira-kira jam 11.30 pagi.

Sementara Korea Herald melaporkan, kereta Tivoli putih pasangan itu ‘terguling ke tepi, dan terhempas ke dalam lubang benam’, di jalan di daerah Seodaemun di barat Seoul, sebelum operasi penyelamat mengeluarkan kenderaan itu dari lubang benam tersebut.
Tambah laporan itu, siasatan telah dilancarkan untuk mengetahui punca lubang benam besar itu terbentuk. -Agensi/– HARAKAHDAILY 29/8/2024




















