Isu MAHB-BlackRock: Mythreyar  serah memorandum kepada KWSP 

Mythreyar ketika menyerahkan memorandum bantahan penjualan sebahagian saham MAHB kepada BlackRock di Kuala Lumpur pada hari ii, 28 Ogos 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kami menggesa institusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya menghentikan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock Inc. (BlackRock).”

Itu penegasan yang diutarakan aktivis bebas Palestin, Mythreyar Mutturamalinggam ketika muncul dalam Program Die-In ‘Tolak BlackRock’ yang diadakan di hadapan bangunan KWSP hari ini.

- Advertisement -

Merujuk lawan wen Bursa Marketplace, KWSP merupakan pemegang saham kedua terbesar selepas Khazanah Nasional Berhad dalam pemilikan syarikat MAHB yang mana pegangan sahamnya adalah sebanyak 12.18 peratus.

Sehubungan itu, Mythreyar menyatakan, seramai lapan orang individu warga Malaysia yang terlibat dalam perhimpunan kecil tersebut dari jam  8:45 pagi hingga 1 petang.

“Ini kerana kami ingin menunjukkan bahawa perjuangan membela rakyat Palestin perlu diteruskan dalam apa jua keadaan,” katanya dalam akaun media sosial Tiktoknya.

Menurut beliau, MAHB merupakan aset negara yang mana pengurusannya tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Tambahna, masih ada lagi institusi-institusi kewangan antarabangsa lain yang berkualiti tinggi dan tidak pro-Zionis yang boleh dijadikan sebagai alternatif untuk membangunkan MAHB itu sendiri.

“Maka, satu memorandum telah diserahkan kepada pihak atasan KWSP bagi menyatakan bahawa majoriti rakyat negara ini sangat tidak bersetuju dengan penjualan sebahagian saham MAHB kepada BlackRock.

“Dalam memorandum tersebut juga ada menyatakan bahawa kami benar-benar menggesa KWSP supaya tidak lagi meneruskan perjanjian tersebut demi solidariti bersama-sama rakyat Palestin.

“Lagipun, kita tidak mahu kemajuan negara ini adalah hasil daripada pelaburan syarikat-syarikat yang suka melakukan kezaliman di sana sini termasuklah yang menyokong pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mythreyar menyatakan tiada jaminan bahawa keadaan negara ini akan selamat sekiranya membawa masuk pelaburan daripada syarikat BlackRock untuk melabur dalam MAHB.

Kata beliau lagi, ini kerana syarikat tersebut juga mempunyai rekod melakukan penindasan bukan sahaja terhadap rakyat Palestin tetapi juga di mana-mana negara.

“Oleh itu, kami berharap sangat agar pihak atasan KWSP melihat perkara ini secara keseluruhan dan hentikan terus perjanjian dengan BlackRock dan mana-mana syarikat yang jelas pro-Zionis.

“Ini kerana kita tidak mahu terlalu mengejar kekayaan ekonomi negara sehingga menyebabkan kedaulatan negara kita sendiri pun dikorbankan,” katanya.

Terdahulu, i bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -