
KUALA LUMPUR: “Mana-mana pihak yang bersolidariti ke atas rakyat Palestin untuk turut memboikot sebarang majlis mengenai Palestin yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.”
Itu penegasan Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyatakan, ia adalah kerana kerajaan masih lagi tidak mahu membatalkan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) milik konglemerat gergasi, BlackRock Inc. (BlackRock), yang sememangnya bersifat pro-Zionis.
“Selagi kerajaan tidak batalkan penjualan saham MAHB kepada GIP yang dikuasai BlackRock maka selagi itulah kita juga perlu boikot segala majlis yang mereka buat untuk Palestin.
“Ini kerana kita perlu hantar isyarat yang jelas kepada kerajaan iaitu hentikan segala normalisasi dengan mana-mana syarikat yang bersifat pro-Zionis,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.
Menurutnya, saham MAHB tidak perlu dijual sedikitpun kepada GIP-BlackRock yang merupakan antara penyumbang terbesar dalam membantu rejim Zionis Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Malah perkara tersebut telah pun disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan tidak perlu pun jual sebahagian saham MAHB kepada BlackRock,” tegasnya.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Fayhsal, setiap usaha penentangan terhadap mana-mana produk syarikat yang menyokong rejim Zionis Israel masih perlu diteruskan tanpa henti walaupun secara kecil-kecilan.
Adakan pertemuan dengan Hamas
“Perkara tersebut adalah penting bagi membantu perjuangan rakyat Palestin sepertimana yang dilakukan oleh Ketua Biro politik Hamas, Ismail Haniyeh.
“Saya dan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN) sempat bertemu dengan beberapa pimpinan daripada Hamas dan juga gerakan Islam lain yang datang dari seluruh dunia di Qatar.
“Banyak perkara yang telah kami bincangkan tetapi yang pastinya perjuangan perlu diteruskan dan setiap usaha kita walaupun sekecil-kecil memboikot mana-mana entiti yang menyumbang kepada kekuatan negara haram Israel dan sekutunya.
“Ini akan membantu perjuangan yang dilakukan oleh As-Syahid, Ismail Haniyeh,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan pada Selasa (30 Julai), Haniyeh telah menghadiri perasmian presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, serta bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Iran.
Namun begitu, beliau bersama-sama seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediamannya menjadi sasaran di Tehran, Iran.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melalui Jabatan Perhubungan Awamnya yang mengesahkan dalam satu kenyataan berkata, serangan itu dilakukan awal Rabu (31 Julai), sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian. – HARAKAHDAILY 5/8/2024




















