
PEKAN: Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah yang terletak di Pulau Keladi, Pekan, bakal membuka lembaran baharu dalam usaha memelihara warisan tenun Pahang.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, projek itu bukan sahaja bertujuan untuk melestarikan seni tenun tradisional negeri Pahang tetapi juga menjadi destinasi tumpuan bagi peminat kraf dari dalam dan luar negara.
Sultan Abdullah dalam titahnya menyatakan bahawa projek pembangunan yang diinspirasikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, adalah platform terbaik bagi rakyat untuk mengenali dan mempelajari proses pembuatan tenun.
“Tengku Ampuan Pahang telah berusaha dengan giatnya untuk memberi kesedaran kepada rakyat Pekan dan Pahang supaya kita harus bangga dengan tenunan dari Pekan itu sendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah bahawa projek yang diusahakan oleh Tengku Ampuan telah melibatkan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
“Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada para banduan untuk memulakan kehidupan baharu selepas mereka dibebaskan dari penjara.
“Di sini saya selaku Sultan Pahang dan suami kepada isteri tersayang berdoa, bersama kita supaya kompleks ini dapat terus maju dan dijaga dengan baik dan sesuai dengan hari ini, sebelum hari Keputeraan Tengku Ampuan Pahang pada hari esok (hari ini),” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi di sini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama ialah Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bersama isteri, Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan; YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah; Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah serta Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Dalam pada itu, Baginda bertitah Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah akan menjadi satu destinasi pelancongan.
Baginda turut menzahirkan harapan agar kemudahan yang ada di sana dapat diuruskan dengan sebaiknya oleh pihak berkaitan.
Untuk rekod, pembangunan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah merupakan penjenamaan semula Kompleks Budaya Pulau Keladi yang ditubuhkan pada 1985 oleh Muzium Negeri Pahang menerusi dana sumbangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri merupakan usaha besar dalam mengangkat serta memelihara warisan kebudayan di negeri ini.
Perkampungan itu turut menempatkan rumah kelahiran Tun Razak, Pusat Tenunan Sutera Pahang, Pusat Karyaneka, kawasan rekreasi dan permainan tradisional, Rumah Serambi Pahang Kampung Raja Songsang,Temerloh yang dibina pada 1902 dan dipindahkan ke situ.
Perkampungan itu turut menempatkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar yang mula beroperasi pada tahun 2009 bagi melatih dan melahirkan lebih ramai penenun muda yang kreatif dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 5/8/2024




















