Banci Pertanian 2024: Rangka pelan strategik masa hadapan

Tengku Farok Hussin T
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Banci Pertanian 2024 penting bukan sahaja kepada negara bahkan juga membantu negeri dalam merangka pelan tindakan yang lebih strategik untuk masa hadapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, kali ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaksanakan bancian secara menyeluruh dan berskala besar.

- Advertisement -

“Ini merupakan data bersepadu yang bukan sahaja diambil dari lapangan, ia juga akan didapatkan daripada agensi dan dikumpulkan dalam satu pengkalan data yang kukuh dan boleh dipakai bukan sahaja untuk negeri tetapi semua agensi dan individu yang terlibat kerana hasilnya boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Operasi Banci (JKPOB) Negeri Terengganu Bilangan 1 Tahun 2004 bertempat di Bilik Gerakan Negeri Tingkat 17, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Farok berkata, bancian yang dilaksanakan mengikut kencenderungan yang dimiliki oleh negeri.

“Kalau macam Kedah, memang dia tertumpu lebih kepada padi, mungkin Terengganu sekarang dalam pertanian lebih kepada buah-buahan contohnya mungkin kita tertumpu kepada melon manis Terengganu.

“Melalui data-data yang dikumpulkan nanti kita boleh membuat perancangan rapi tentang haluan pada masa depan atau daripadanya mungkin tindakan perlu kita hebatkan lagi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kali ini bancian yang dibuat pada skala besar dan akan melibatkan isi rumah, pertubuhan, perniagaan yang terlibat dengan aktiviti pertanian.

“Pertanian ia melibatkan empat sektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur. 

“Selain kita memaklumkan, kita memanggil jabatan dan agensi secara langsung melibatkan empat sektor dan mereka memberi maklum tentang apa yang akan berlaku dalam bancian ini,” katanya.

Bancian Pertanian 2024 di Terengganu melibatkan 92,000 tempat kediaman dan 480 pertubuhan.

“Setakat ini, kita telah pergi kepada 10,000 tempat kediaman sejak 7 Julai,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -