Pejuang dibunuh, namun perjuangan tidak mati

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perjuangan menegakkan Islam tidak akan mati sekalipun pemimpinnya dibunuh, namun sebaliknya ia akan terus diwarisi dari satu generasi ke generasi lain, kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.

- Advertisement -

Katanya lagi, sebelum ini pembunuhan dilakukan terhadap pemimpin Palestin iaitu Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdel Aziz al-Rantisi serta terbaru Syeikh Ismail Haniyeh, namun perjuangan Islam terus hidup dan mekar.

“Zionis Israel menyangka dengan kematian pemimpin utama HAMAS itu, perjuangan rakyat Palestin akan tamat tetapi sebenarnya mereka salah. Bunuh pemimpin, kepimpinan tidak mati.

“Bunuh pejuang Islam, perjuangan tidak akan mati. Inilah perkara yang kita sebagai pejuang Islam kena yakin,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Ahmad berkata demikian pada Majlis Solat Hajat dan Qunut Nazilah di Kompleks PAS Kedah, di sini malam kelmarin.

Jelasnya lagi, orang yang terkorban di jalan Allah, sebenarnya tidak mati
sebaliknya terus hidup di sisi Tuhannya, malah perjuangan yang ditinggalkan juga terus hidup.

“Sebab itu kita dapat saksikan bagaimana perjuangan menegakkan Islam ini tidak terhenti dan disambung turun-temurun dan diwarisi satu generasi ke satu generasi, walaupun cuba disekat oleh musuh Islam,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang syahid serta terkorban atas jalan Islam akan menikmati ganjaran pahala dari hasil perjuangan diteruskan itu.

Turut berucap pada malam itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad.

Sementara solat hajat diimamkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Syeikh Mohammad Rodi Abdul Rahman.

Majlis Solat Hajat dan Qunut Nazilah itu dihadiri pemimpin PAS pelbagai peringkat termasuk dewan-dewan. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -