
JERAI: Sudah cukup terkenal lincah di padang bola sepak, rupanya beliau juga mampu ‘beraksi’ di dapur, memasak juadah dan menyediakan makanan, itulah ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar.
Bekas pemain bola sepak negara yang turut dikenali sebagai BB7 itu dilihat ligat bersama para petugas bertungkus-lumus menjayakan program memasak bubur asyura peringkat DUN Gurun, semalam.
Sebanyak 18 kawah makanan tradisi yang sering dibuat setiap kali tiba bulan Muharram itu berjaya disediakan dengan penglibatan muslimin dan muslimat termasuk Majlis Ketua Kampung (MKK) DUN tersebut.
Bukan sahaja menyediakan bubur asyura, sebaliknya juga sempena majlis ini turut diadakan pertandingan antara MKK untuk memilih bubur mana satukah yang terbaik.
Kata Baddrol, untuk bersama-sama membantu memasak, mengacau bubur itu tidaklah terlalu susah, tetapi untuk mengadili siapakah pemenang, perkara itu agak sukar baginya.
“Bubur asyura yang disediakan semua sedap-sedap belaka, susah juri nak pilih. Tapi sebenarnya bukan kalah atau menang, tetapi yang paling penting dapat mengeratkan ukhuwah di antara semua peserta,” kata beliau.
Pertandingan yang diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Gurun itu, menyaksikan kategori berpasukan dimenangi oleh MKK Batu Lima, kategori kebersihan (MKK Pulau Cengai) dan kategori pakaian (MKK Kampung Gurun).
Sementara kumpulan yang memenangi pertandingan bubur asyura ialah tempat pertama MKK Batu Tiga, kedua (MKK Guar Stesyen), ketiga (MKK Sungai Puntar), keempat (MKK Sungai Perahu) dan kelima (MKK Batu 10).
“Tahniah kepada yang menang termasuk yang dapat hadiah cabutan bertuah juga. Yang belum menang boleh cuba tahun depan pula,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/8/2024














