Koperasi Masjid Terbakang tanam sorgum

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman mengucapkan tahniah kepada Koperasi Kariah Masjid Terbakang (KOMIT), Marang yang mengusahakan tanaman sorgum.

Beliau memberikan reaksi itu susulan melawat KOMIT yang digerakkan oleh Senator Hussin Ismail. (Foto atas)

- Advertisement -

Menurutnya, KOMIT juga memberi fokus kepada projek keterjaminan makanan seperti padi darat dan sorgum atau lebih dikenali oleh orang tempatan sebagai sekoi selain aktiviti peladangan kelapa.

“Sorgum merupakan makanan alternatif yang berpotensi untuk melengkapkan bekalan makanan ruji negara kita, iaitu beras.

“Penanaman sekoi ini masih baru di negara kita, namun usaha yang dilakukan oleh Koperasi Kariah Masjid ini adalah langkah awal yang tepat untuk mendepani cabaran keterjaminan makanan pada masa akan datang,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, menurut ramalan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), negara ini bakal mengalami kemarau berpanjangan antara tahun 2025 hingga 2035, yang akan mengakibatkan kekurangan bekalan air dan masalah bekalan makanan.

“Dengan usaha penanaman sorgum ini, diharapkan kita dapat membuat persiapan awal untuk mengatasi masalah keterjaminan makanan di masa hadapan,” ujarnya.

Tambahnya, tanaman sorgum sangat lasak dan tahan cuaca serta tidak memerlukan bekalan air yang banyak, menjadikannya sesuai untuk ditanam di negara ini.

Bahkan, ujar beliau Indonesia juga telah mengisytiharkan sorgum sebagai makanan ruji negara selain daripada beras.

“Tahniah kepada KOMIT atas langkah ini,” katanya yang juga ADUN Alur Limbat.

Beliau berkata, menurut Pengerusi KOMIT, penanaman itu akan dikembangkan lagi untuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar yang ada dan memastikan tanaman itu dapat menyumbang kepada keterjaminan makanan negara. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -