
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menawarkan kursus khas dalam bidang automotif, electric vehicle (EV) kepada anak muda Kelantan yang akan diadakan di China.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, program itu mendapat kerjasama strategik antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, TANG International Education (China).
Kata ADUN Apam Putra itu lagi, selain itu program berkenaan turut mendapat kerjasama Belia Mahir.
Menurutnya, kerjasama itu turut melibatkan Institusi TVET China dan Industri China yang akan berlangsung selama 15 hari.
Jelasnya, ini adalah kerjasama pertama kerajaan negeri dengan syarikat berkenaan dalam usaha menghantar anak Kelantan mengikuti kursus berkenaan.
“Kursus automotif ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri kepada anak muda yang berminat.
“Usaha ini dibuat bagi meningkatkan kemahiran anak muda khususnya dalam bidang automotif dan elektrik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zamakhshari berkata, ia juga bertujuan untuk memberi pengalaman yang boleh membangunkan keupayaan anak muda berkemahiran TVET dan bakat untuk menjadi mobiliti dan berkemahiran di peringkat global.
Menurutnya, kepada anak muda yang berminat boleh menghubungi Penolong Pengarah Kanan U-BeS, Norhaiti Ibrahim di talian 013-9239455 atau klik pautan https://forms.gle/TuzRToB17hhvWr8p8 – HARAKAHDAILY 5/8/2024











