GIP kini milik penuh BlackRock: Status penjualan saham MAHB?

GIP kini sepenuhnya dimiliki BlackRock.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: BlackRock Inc. (BlackRock) yang kini telah sepenuhnya memiliki Global Infrastructure Partners (GIP) menimbulkan kebimbangan terhadap apakah status penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang kini kepada GIP-BlackRock.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkata, ia terutama kerana hubungan syarikat itu dengan pelaburan dalam syarikat senjata yang menyokong kekejaman Zionis Israel terhadap Palestin. 

- Advertisement -

“Tindakan kerajaan menjual 25 peratus saham MAHB kepada BlackRock perlu dinilai semula jika benar mereka menyokong perjuangan Palestin.

“Sebelum ini, berdegar-degar hujah daripada pihak kerajaan cuba mempertahankan tindakan mereka membenarkan saham milik MAHB dimiliki oleh GIP. 

“Sehinggakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee bangun meminta Ahli Parlimen Sik menarik semula kenyataannya yang mengatakan GIP telah dimiliki sepenuhnya oleh Blackrock.

“Nampak gaya, meja sekarang sudah berpusing (‘the table has turned’),” kata DPPM dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, prestasi keuntungan MAHB pula semakin baik dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM205.80 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 iaitu sekali ganda daripada RM102.53 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan 2023.

“Merujuk  kepada ketegangan di Timur Tengah saat ini, pemilikan saham yang bakal dimiliki oleh GIP dalam MAHB amatlah merisaukan. 

“Tidak cukup dengan 41,909 nyawa rakyat Palestin yang syahid dan 97.303 rakyat mereka cedera sepanjang setahun Taufan Al-Aqsa. Israel mengganas pula menyerang Lubnan, Syria dan Yaman.

“BlackRock jelas bertindak sebagai penyumbang besar kepada kejayaan jenayah-jenayah genosid dan pembunuhan ini. 

“Hal ini telah disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apabila syarikat ini (BlackRock) didapati melabur dalam syarikat-syarikat senjata yang disalurkan kepada Israel,” jelas DPPM.

Justeru, ujar kenyataan itu lagi, satu persoalan perlu dibangkitkan kepada kerajaan mengenai tindakan menjual 25 peratus saham pemilikan MAHB kepada GIP-Blackrock iaitu berkenaan keseriusan kerajaan bersama dengan rakyat Palestin atau sebaliknya.

“Justeru, kerajaan digesa membuktikan dengan tindakan sekiranya benar bersama dengan rakyat Palestin dan bersama-sama ingin membebaskan bumi Palestin, dan janganlah hanya bersembang kencang di pentas politik.

“Tunjukkan keseriusan dan ketegasan dengan menilai semula keputusan penjualan saham MAHB kepada GIP milik Blackrock yang berperanan dalam genosid rakyat Palestin,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

- Advertisement -