Langgar prinsip 3R: Pemuda PAS Terengganu lapor polis

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran gambar yang didakwa menimbulkan persepsi buruk terhadap wanita Islam.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, laporan polis itu dibuat berikutan tindakan keterlaluan dan melanggar prinsip kempen 3R (agama, kaum, dan raja).

“Kami hadir beramai-ramai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk memfailkan laporan ini dan meminta penyiasatan serta pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 Seksyen 4(1)(c) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa laporan itu bukan semata-mata melibatkan parti PAS atau agama Islam sahaja, tetapi menyentuh isu sensitif 3R yang merangkumi semua agama.

“Ini bukan melibatkan agama Islam sahaja, ini telah menjadi isu besar yang menyentuh 3R, saya rasa kalau DAP nak buat report pun kami sangat mengalu-alukan kerana ini bukan lagi isu politik.

“Ini isu kebersamaan kepada agama, isu menyentuh 3R yang memperjuangkan hampir setahun lebih bersama kerajaan Madani,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran sensitif ditularkan oleh seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama ‘Ryan Azzaro’, memaparkan seorang wanita mengenakan burqa berwarna hitam sedang melakukan aksi terjun papan anjal.

Ia turut diiringi kata-kata ‘Welcome to Afganu’.

Hantaran itu dipercayai merujuk kontroversi penyertaan dua penerjun wanita yang mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang baru sahaja berakhir.

Sehubungan itu, Irsyad menuntut keadilan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jadi saya tuntut kepada semua yang terlibat yang ada kuasa dan bertanggungjawab tolong siasat benda ini dan bawa manusia yang tidak bertanggungjawab seperti ini ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.

Mengulas lanjut sekiranya tiada tindakan dilakukan, Irsyad berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan isu itu dan memberi jaminan tidak akan mengambil langkah yang melanggar undang-undang.

“Kita adalah sebuah negara yang merdeka dan ada akta serta enakmen yang sepatutnya melindungi kita sebagai rakyat Malaysia, bukan sahaja melindungi kita bahkan kepercayaan kita.

“Kita ini ada agama masing-masing hatta orang yang tidak ada agama pun masih terlindung di dalam akta-akta atau perlembagaan undang-undang dalam negara, cuma kita berharap ada tindakan-tindakan jangan senyap sahaja, kita akan terus berjuang berkenaan isu ini, kita tidak mahu perkara ini terus berulang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -