
KUALA KRAI: Pelajar antarabangsa cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023, Harteenee Waekuechi, 20, ditawar bantuan pembiayaan pendidikan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pelajar berkenaan ditawar melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda untuk sesi kemasukan Semester September 2024/2025 pada Oktober ini.
Naib Canselor UMK, Dato’ Prof Dr Razli Che Razak berkata, bantuan pembiayaan pendidikan itu bagi meringankan bebanan kewangan Harteenee yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian.
Katanya, penawaran bantuan pembiayaan pendidikan kepada B40 dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang.
“Harteenee Waekuechi merupakan lepasan STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 Kuala Krai memperolehi keputusan PNGK 4.0 STPM 2023.
“Anak kepada penoreh getah itu menjadi harapan keluarga untuk mengubah nasib mereka,” katanya pada program Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Kepada Pelajar Cemerlang STPM di Kampung Dusun Nyior hari ini.
Turut hadir, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts Dr Arham Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Mohammad Ismail dan Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Prof Madya Dr Mohd Fadil Mohd Yusof.
Terdahulu, Pusat Pengurusan Akademik (PPA) UMK mengadakan lawatan ke kediaman Harteenee Waekuechi.
Sementara itu Dr Arham berkata, UMK menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang membela nasib keluarga B40.
Katanya, UMK bertekad memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan masyarakat setempat dalam aspek perkembangan ilmu pengetahuan dan meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat.
“Harteenee Waekuechi anak bongsu daripada lima adik beradik menetap di Kampung Dusun Nyior sejak 17 tahun yang lalu.
“Allahamdullilah, pihak PPA mengambil inisiatif ini bagi membantu beliau untuk menyambung pengajian di UMK,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











