
KOTA BHARU: Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby dilantik memangku tugas Ketua Polis Kelantan susulan Datuk Muhamad Zaki Harun bersara bermula hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas berkenaan turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Razardin berkata, Majlis Serah Terima Tugas merupakan tradisi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pegawai dan anggota apabila cukup usia berkhidmat.
“Kita masih kekalkan tradisi lama sehingga hari ini selain majlis makan malam meraikan pegawai.
“Saya merupakan rakan karib Muhamad Zaki. Beliau berasal dari Kelantan dan pernah bertugas di Teluk Intan, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
Menurutnya juga Mohd Ali akan mengambil alih tugas yang dijalankan oleh Muhamad Zaki sebelum ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain katanya PDRM menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan aplikasi telefon pintar untuk mengesan kedudukan orang hilang.
Menurutnya kemudahan yang ada itu sepatutnya dimanfaatkan selain mengambil tahu ke mana dan dengan siapa anak atau ahli keluarga ketika berada di luar.
“Sekiranya berlaku sesuatu kita boleh kesan keberadaan mereka jika telefon ada bersama,” katanya.
Beliau juga berkata, orang ramai tidak perlu menunggu tempoh 24 jam, untuk membuat laporan sekiranya ada ahli keluarga hilang.
Katanya beliau mengarah ketua-ketua polis negeri dan ketua polis daerah untuk membantu siasatan kehilangan kanak-kanak dan mana-mana ahli keluarga. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











