
BACHOK: Lebih RM1 bilion diperlukan untuk menggantikan paip lama sepanjang 1,050 kilometer yang berusia lebih 30 tahun di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesan paip lama rosak dan ia perlu digantikan bagi memastikan rakyat menerima bekalan air bersih secukupnya.
Katanya, keseluruhan jumlah paip di negeri ini sepanjang 8,000 km, namun 4,000 km daripadanya mengalami kerosakan menyebabkan jumlah air tidak berhasil (NRW) tinggi.
Berikutan kejadian itu, katanya air dari loji tidak sampai kepada pengguna lebih 50 peratus.
“Daripada jumlah 4,000 km paip tersebut, 1,050 km paip perlu disegerakan kerana rosak teruk tidak mampu menampung tekanan air yang disalurkan dari loji rawatan air (LRA),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan LRA Jelawat dekat sini hari ini. (Foto atas)
Menurut beliau, kerja-kerja penggantian paip lama itu bermula tahun 2022 melibatkan jajahan Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Katanya, setakat ini Program Penukaran Paip Uzur dan Lama kepada yang baharu sepanjang 231 km dilakukan melalui pembiayaan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM218 juta.
Selain itu program Pengurangan NRW juga dilakukan dengan penukaran dan penggantian meter, pembaikan tangki serta penyediaan Sistem Maklumat Geografi melalui peruntukan geran bernilai RM44 juta oleh Kementerian Peralihan Tenaga Transformasi Air.
“Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus komited menyelesaikan isu-isu bekalan air kepada rakyat. Bagaimanapun kerja-kerja yang dilakukan itu memerlukan masa agak lama.
“Sebagai contoh 100 km paip rosak perlukan masa dua tahun untuk digantikan baharu,” ujarnya.
Terdahulu ketika berucap beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM5.9 juta bagi pembinaan LRA Jelawat dengan kapasiti 4 juta liter sehari (JLH).
“LRA Jelawat akan dapat membekalkan air terawat kepada 1,500 akaun pengguna termasuk di Gunong, Pekan Jelawat dan Bandar Baharu Jelawat,” katanya.
Menurutnya juga projek pembinaan LRA Tok Bali berkapasiti 50 JLH dengan kos anggaran RM250 juta turut dijalankan di bawah pembiayaan PAAB yang dijangka siap pada tahun 2027. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











