Deposit sehingga RM20,000 penganjuran babit artis ternama

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan Kelantan akan mengenakan deposit yang lebih tinggi sehingga RM20,000 bagi setiap penganjuran membabitkan artis ternama di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, sebelum ini deposit dikenakan hanya sekitar RM1,000 ke RM2,000 sahaja.

Namun katanya, dengan situasi hari ini jumlah deposit dinaikkan RM5,000 hingga RM20,000 memandangkan penganjur sering memanggil artis yang ada nama serta memiliki album sendiri.

- Advertisement -

“Apa yang kita lakukan ini untuk mengelakkan program yang dianjur jadi tak terkawal dan mahu penganjur lebih bertanggungjawab mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Jelawat, dekat sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Hilmi berkata, kenaikan deposit itu juga bagi mengurangkan keghairahan penganjur mengadakan acara hiburan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya kerajaan negeri memberi kuasa pegawai pelesenan kepada PBT bagi mengawal selia aktiviti hiburan berkuat kuasa awal bulan ini.

Menurut beliau sebelum ini kelulusan permit acara hiburan di bawah kuasa Ketua Jajahan akan ditukar kepada Yang Dipertua Majlis Daerah di bawah kuasa PBT.

“Rang Undang-undang (RUU) Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 menggantikan Enakmen Hiburan Tahun 1998 masih dalam proses untuk disiapkan.

“Beberapa pindaan perlu dibuat memandangkan banyak acara hiburan tidak mengikut garis panduan ditetapkan sehingga menimbulkan tohmahan kurang baik termasuk tular acara dikir barat membabitkan tarian penyanyi wanita dan lelaki baru-baru ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -