Wanita perlu lebih ramai jadi pakar perbidanan

- Advertisement -

SETIAP kali Allah menyebut syurga, ganjarannya adalah kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Kita tidak menjumpai ayat yang menyebut “orang yang beriman” atau “beramal soleh”. Kedua-duanya mesti sekali, “beriman dan beramal soleh”.

Ini adalah dua syarat utama nak masuk syurga. Kata ulama, iman dan amal ini saling berkait. Tidak sempurna iman kalau tiada amal soleh. Beriman macam mana kalau tidak solat, puasa, minum arak, berjudi, berzina? Oleh sebab itu, jagalah iman kita agar molek dan amal juga molek.

Amal soleh ialah amal yang molek. Ada ulama yang menterjemah amal soleh sebagai amal yang baik mengikut keadaan. Pada masa itu, apa yang molek. Ada benda molek tetapi tidak kena dengan tempatnya.

Contoh amal yang tidak soleh ialah solat di persimpangan lampu isyarat sehingga menyebabkan kesesakan. Satu lagi contoh ialah, orang lain tengah solat, tetapi kita membaca al-Quran dengan suara yang kuat sehingga mengganggunya.

- Advertisement -

Ada orang yang rajin berpuasa sunat. Tetapi, kalau ada orang yang datang ke rumahnya, dia berbuka puasa walau sudah pukul tiga petang kerana meraikan tetamu. Walaupun dia berpuasa, apabila tetamu datang, dia makan sekali dengan tetamu tersebut.

Inilah amal soleh sebab antaranya ialah memuliakan tetamu. Kalau kita meminta tetamu makan tetapi kita tidak makan kerana berpuasa, tetamu mana yang tergamak nak makan? Mesti tetamu rasa serba salah, nak menambah pun tidak jadi.

Kalau terlalu lapar sehingga kebuluran, maka makanlah dahulu sebelum solat. Terutamanya pada waktu malam kerana waktu Isyak kan panjang. Janganlah kerana nak menjadi baik, kita pun solat tetapi tidak khusyuk kerana tersangat lapar.


Dalam kitab dakwah menyebut, kalau ada orang yang lapar datang kepada kita, berilah dia makan dahulu sebelum kita nak menyampaikan ilmu kepadanya. Selepas dia makan kenyang, ceramahlah apa pun.

Nak kata, banyak kaedah dalam agama. Jadi, kalau kita menurut agama, maka agama menjadi comel. Cuma masalahnya ialah kita tidak memahaminya. Niat baik tetapi oleh kerana tidak faham dan tiada ilmu, banyak benda tidak kena.

Sama dengan kita membaca al-Quran. Memasang ayat al-Quran pada pembesar suara tidak mengira waktu sehingga orang tidak boleh tidur. Tidak boleh. Benda-benda seperti inilah menunjukkan kita tidak cermat. Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali menceritakan mengenai bab Amar Makruf Nahi Mungkar.

Satu demi satu disebutkan dengan jelas. Kadang-kadang, kita berdakwah kepada orang yang lebih alim daripada kita. Kita tidak mengenali orang yang kita nak dakwah. Jadi, kita perlu mengenali dan mengetahuinya.

Contohnya, mengetuk pintu rumah imam dan mengajaknya untuk solat berjemaah. Imam memang tugasnya pergi masjid solat berjemaah. Sepatutnya kita mengajak orang yang bermain di padang bola sehingga mengabaikan solat. Kadang-kadang, tujuan kita baik tetapi ‘tidak kena lagu’, jadi agama menjadi rosak.

Tujuan yang baik mesti diiring dengan kaedah yang betul. Ibn Taimiyah tegas dan keras dalam bab agama. Dia berlawan dengan Syiah sampai berasap. Tetapi ketika dia pergi ke Baghdad, anak-anak muridnya melihat askar-askar Mongol yang menyerang Baghdad, mereka dalam keadaan mabuk. Anak muridnya yang bersemangat nak berdakwah kepada askar tersebut. Ibn Taimiyah berkata, “Biarlah, lebih baik mereka minum arak daripada sedar. Kalau dia sedar, tidak mabuk, dia akan bunuh orang, rampas harta benda orang, rogol orang perempuan.”

Amar makruf itu sendiri ada pilihannya. Kalau kita tidak cerdik dalam perkara ini, kita bermasalah besar. Oleh sebab itu, pentingnya memahami agama supaya kita beramal dengan sempurna. Orang tengok Islam pun cantik.

Ada adabnya, contohnya orang muda tidak boleh mengajar orang tua. Memberi salam sunat, menjawab salam wajib. Tetapi, Nabi ajar bagaimana cara memberi salam. Orang muda memberi salam kepada orang tua. Orang yang berada di atas kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan. Orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit kepada orang yang ramai. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 6233).

Pentingnya kefahaman, ilmu itu satu hal. Ada benda yang lebih baik kita membiarkan sahaja daripada menyekatnya. Sebab menyekat mungkin boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar. Ambillah mudarat yang lebih kecil berbanding yang besar. Jadi, ilmu dan kefahaman dalam agama amat penting.

Kalau kita tengah solat, tiba-tiba ada orang lemas, berhentilah solat dan pergilah menolongnya. Sebab solat boleh dibuat semula. Kalau habis waktu, boleh qadha. Tetapi, orang yang lemas tidak boleh bertahan. Kalau nak tunggu kita habis empat rakaat, matilah dia. Sebab lemas ini sekejap sahaja. Oleh sebab itu, kita perlu memahami yang mana utama dan yang mana kemudian. Tidak salah untuk berhenti solat sebab nyawa orang itu lebih besar.

Sama juga dengan doktor yang nak mengubati pesakit. Orang perempuan tidak boleh diubati oleh doktor lelaki sebab haram melihat aurat. Tetapi, apabila nak merawat, dia perlu melihatnya. Jadi, nak menyelamatkan nyawa itu lebih besar daripada auratnya. Ada kelonggarannya. Kalau tetap tidak mahu, terpulanglah.

Maka, perlu perbanyakkan lagi doktor perempuan untuk mengubati pesakit perempuan. Orang perempuan perlu berusaha menjadi doktor. Kebanyakan doktor perempuan tidak mahu menjadi pakar perbidanan. Jadi mahu tidak mahu, doktor lelaki terpaksa melihat aurat pesakit perempuan. Sepatutnya orang perempuan perlu lebih ramai yang belajar untuk menjadi pakar dalam bidang perbidanan. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -