Kedah persiap hadapi kemarau tahun hadapan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua empangan di negeri ini akan membuat simpanan air secara maksimum untuk takungan sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang pada tahun hadapan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria memaklumkan demikian pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, pelepasan air dari empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian akan dikawal mengikut keperluan, selain pelan jangka pendek dan jangka panjang disediakan bagi menghadapi keadaan tersebut.

“Untuk pelan jangka pendek, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan.

“OPA dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai di kawasan tadahan Empangan Muda dan Empangan Pedu. Hasilnya kapasiti Empangan Muda meningkat kepada 3.05 juta meter padu daripada 1.15 juta meter padu.

“Manakala paras air di Empangan Muda, Ahning dan Pedu semakin meningkat dan dijangka dapat menyimpan sehingga 678 juta meter padu sehingga hujung Mac tahun depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) yang inginkan penjelasan berkaitan persediaan LSANK menghadapi kemarau agak panjang dijangka berlaku tahun hadapan.

Sementara untuk pelan jangka panjang kata Munir, permohonan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi Cadangan Pembangunan Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Katanya lagi, terdapat 27 tapak di Lembangan Sungai Muda dikenalpasti berpotensi untuk dibangunkan TAPS iaitu di Lembangan Sungai Muda dan di Lembangan Sungai Kedah.

“Selain itu LSANK juga bercadang untuk mengemukakan tambahan permohonan dalam RMK13 untuk pembangunan TAPS dan empangan rendah di sepanjang Lembangan Sungai Muda.

“Pembangunan empangan rendah berhampiran dengan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) akan membantu meningkatkan paras air di kawasan muka sauk pada musim kemarau dan mengurangkan gangguan terhadap operasi LRA,” tambah beliau lagi.

Selain itu ujarnya, beberapa inisiatif lain juga diambil oleh LSANK bagi membantu komuniti setempat yang mengalami gangguan bekalan air, antaranya, Projek Bekalan Sumber Air Alternatif untuk membina atau membaik pulih stesen telaga tiub. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -