Masalah lif PLT dalam tindakan, selesai tidak lama lagi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Masalah lif yang berlaku di di Pangsapuri Ladang Tanjung (PLT) akan selesai tidak lama lagi.

“Insya-Allah, hal ini telah dalam tindakan dan akan selesai tidak lama lagi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato Wan Sukairi Wan Abdullah.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, katanya, kebelakangan ini, beliau sering menerima aduan mengenai kerosakan lif yang berlaku di PLT.

- Advertisement -

Katanya, petang tadi, beliau telah memanggil pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) serta kontraktor penyelenggara duduk semeja bagi mendengar pemakluman mengenai hal itu. (Foto atas)

Tambahnya, terdapat dua kemudahan lif di PLT di setiap blok iaitu Blok A dan B yang secara keseluruhannya mempunyai empat lif.

Beliau berkata, pada awalnya, hal penyelengaraan lif diurus oleh syarikat AM Advance Elevator Sdn Bhd iaitu syarikat pembekal lif PLT.

Namun, ujarnya berlaku kekerapan kerosakan menyebabkan LTAWNT membuat keputusan menamatkan kontrak syarikat dan menukar lif baru jenama OTIS dengan kos RM2,098,246.

Menurutnya kagi, pihak OTIS Elevator Company (M) Sdn. Bhd. juga dilantik untuk membuat penyelenggaraan berkala lif lama dan juga pemasangan lif baru bermula 1 November 2023.

Katanya, proses penukaran lif baru telah bermula 8 Januari lalu dengan pihak OTIS menghantar semua komponen lif baru ke PLT.

Beliau menjelaskan, proses penukaran lif baru terpaksa dibuat dua fasa iaitu Fasa 1 adalah menukar dua unit lif bomba di Blok A dan B, manakala Fasa 2 pula menukar dua unit lif penumpang di Blok A dan B.

Pihak kontraktor juga, ujarnya telah mencapai target jadual bagi fasa 1 iaitu terkedapan 50 hari pada bulan Mac 2024.

Namun, katanya pihak kontraktor berhadapan dengan masalah kekangan piagam kerja di peringkat JKKP bagi mendapatkan kelulusan prosedur pengambilalihan lif lama daripada AM Advance Elevator Sdn Bhd ke Otis Elevator Company (M) Sdn Bhd.

“Ini merupakan prosedur pemasangan lif baru dan agak merumitkan berbanding untuk memperbaharui permit lif tahunan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -