
KOTA BHARU: Sambutan kemerdekaan amat wajar disambut biarpun secara kecil untuk memperbaharui tekad dan semangat jiwa merdeka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, setiap individu perlu mempersiapkan diri untuk terus maju.
Katanya, perkara yang penting anak Malaysia perlu menambah keupayaan untuk berdikari tanpa berharap pihak lain untuk maju di negara sendiri.
“Jiwa perlu merdeka, jika rakyat dan pimpinan berjiwa hamba, kita akan dijajah secara tidak langsung biarpun negara sudah merdeka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa Merdeka Hotel Jewels, di sini petang ini.
Sempena majlis itu juga beliau turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada pemilik kenderaan yang melalui hotel berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Hotel Jewels, Muhammad Azrin Zainal Abidin.
Majlis turut meraikan tiga penarik beca yang masih aktif di bandar Kota Bharu.
Pada majlis itu beliau turut memuji langkah yang dibuat Hotel Jewels kerana sentiasa aktif dalam banyak program diatur.
Tambahnya, hotel ini juga turut membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan Tahun Melawat Kelantan 2024.
Sementara itu Azrin ketika berucap pada majlis tersebut memberitahu, pogram kibar dan pengagihan Jalur Gemilang ini telah diadakan setiap tahun dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Tahun sebelum ini, sebanyak 100 unit bendera telah habis di agihkan. Antara objektif utama program ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak.
“(Iaitu) dalam mengeratkan lagi sillaturahim antara orang ramai dan warga kerja Jewels Hotel Kota Bharu dalam kita menjayakan program sambutan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











