Ribut: Pengunjung taman hiburan tergantung 74 meter di udara

Detik cemas dialami beberapa pengunjung taman tema hiburan yang tergantung di udara ketika menaiki permainan Sky Screamer yang gagal beroperasi tatkala dilanda ribut di Mexico City, Mexico. (FOTO: Daily Mail)
- Advertisement -

MEXICO CITY: Sekumpulan pengunjung di taman hiburan permainan Six Flags Mexico di sini, mengalami detik yang mencemaskan selepas kenderaan permainan yang dinaiki mereka, ‘Supergirl Sky Flight’ terhenti setinggi 76 meter (243 kaki) di udara ketika ribut melanda.

Dalam kejadian yang berlaku pada 25 Ogos itu, pengunjung yang menaiki ‘Supergirl Sky Flight’, atau turut dikenali sebagai Sky Screamer’ tergantung di udara selama kira-kira 10 minit, lapor TMZ.

Omar Hernandez Medrano merupakan antara yang menaiki permainan berkenaan apabila ia berhenti beroperasi semasa hujan lebat dan angin yang berlaku.

- Advertisement -

“Saya bersama-sama rakan serta individu lain yang menaiki Sky Screamer terkandas setinggi 243 kaki di udara selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya dipindahkan,” katanya.

Sementara pihak pengurusan Six Flags Mexico dalam satu kenyataannya mengesahkan cuaca buruk yang berlaku telah menyebabkan operasi ‘Sky Screamer’ terganggu, dan turut menganggu operasi permainan lain di taman hiburan berkenaan.

“Malangnya, ribut bertambah kuat semasa proses pemindahan, mewujudkan beberapa ‘detik  yang tidak selesa’ kepada pengunjung taman tema huburan permainan ini. 

“Kakitangan kami mengawasi semua pengunjung dan tiada sebarang insiden dilaporkan. Sky Screamer menyambung semula operasi biasa tidak lama kemudian,” tambah kenyataan itu.

Insiden ini bukanlah pertama kali yang berlaku di taman hiburan di bawah kelolaan Six Flags pada musim panas ini.

TMZ sebelum ini pernah melaporkan seorang kanak-kanak terpaksa diselamatkan selepas terjatuh ke dalam sungai buatan manusia ketika berlaku kerosakan pada permainan ‘Roaring Rapids’ di ‘Six Flags Over Texas’, Arlington, Amerika Syarikat. – Agensi/– HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -