Pantai, tempat peranginan lebih kemas dan ceria

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menekankan bahawa semua pihak berperanan dalam menjaga kebersihan pantai dan kawasan peranginan.

- Advertisement -

Menurut beliau, tahap kebersihan di pantai Terengganu telah menunjukkan peningkatan berbanding beberapa tahun lalu.

Namun, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab itu bukan sahaja terletak pada pihak berkuasa tempatan, seperti majlis bandar raya atau majlis daerah, tetapi juga pada semua pengunjung, termasuk rakyat tempatan dan pelancong dari luar negeri.

“Insya-Allah dengan cara demikian, pantai dan tempat peranginan di negeri Terengganu termasuk pulau akan lebih kemas dan ceria untuk semua pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pembersihan Pantai Batu Buruk kerjasama antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan MS Citajaya Sdn. Bhd. di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mengulas berhubung tahap kepuasan kebersihan di negeri ini, Samsuri berkata, walaupun sering berhadapan dengan pelbagai masalah setiap hari, usaha penambahbaikan oleh operator telah menunjukkan hasil yang memuaskan.

“Nak kata puas hati itu saya rasa tentu setiap hari kita akan jumpa dengan masalah tertentu tapi saya percaya ini ditambah baik dengan begitu baik oleh operator,” katanya.

Ketika ditanya berhubung isu kelonggaran penguatkuasaan, beliau berkata, jika keadaan tidak terkawal dan memberi kesan kepada kesihatan awam, tindakan lebih tegas mungkin diperlukan.

“Jadi buat masa ini, kita minta kerjasama semua pihak agar lebih cermat dan menjaga keselamatan untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -